KUCHING: Rakyat Sarawak khususnya golongan belia diingatkan supaya berwaspada dengan tawaran melancong ke luar negara yang ditaja pihak tidak dikenali atau menjanjikan upah lumayan untuk membawa barangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia susulan kes penahanan lima rakyat Malaysia di Jepun yang membawa dadah, selain turut melibatkan wanita serta individu dari Sarawak.
“Orang ramai perlu berwaspada dengan pelawaan untuk bercuti atau melancong ke luar negara sekiranya diminta membawa barangan milik orang lain kerana mereka berisiko dipergunakan sebagai keldai dadah.
“Jangan mudah percaya dengan janji bayaran lumayan kononnya tanpa risiko untuk membawa bahan terlarang seperti dadah ke luar negara,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, kes tersebut menjadi peringatan bahawa tawaran percutian percuma atau berbayar tidak boleh diterima tanpa mengetahui dengan jelas pihak yang membiayai perjalanan dan barangan yang diminta untuk dibawa.
Fatimah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sehenti (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substan (MIDS) Sarawak turut meminta keluarga memantau pergerakan ahli keluarga sekiranya perjalanan ke luar negara ditaja oleh pihak yang tidak dikenali.
Untuk rekod, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan enam rakyat Malaysia berusia antara 19 hingga 26 tahun berlepas dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 9 Oktober untuk ke Jepun.
Lima daripada keseluruhan enam individu itu berasal dari Sarawak, manakala dua lelaki dan tiga wanita ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo pada 10 Oktober, manakala seorang lagi telah kembali ke Malaysia.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, pihak Kastam Jepun menemukan kira-kira lima kilogram kokain yang disembunyikan pada pelapik kasut dipakai kesemua suspek.
PDRM turut akan menghantar pasukan penyiasat ke Jepun bagi mendapatkan maklumat lanjut penahanan itu serta menyiasat kemungkinan rangkaian sindiket dadah di Malaysia dan antarabangsa, manakala pihak berkuasa Jepun sedang menyiasat sumber bekalan serta pihak yang mengatur penyeludupan berkenaan.


