KUCHING: Sarawak kini berada dalam keadaan siapsiaga menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku dari November hingga Mac 2026, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Beliau berkata, antara persiapan utama termasuk penyediaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta pengaktifan Pangkalan Hadapan bagi menyimpan bekalan makanan kering, khususnya untuk kawasan yang jauh dari pusat bandar.
“Semua PPS telah bersedia dari aspek lokasi, kapasiti serta kelengkapan seperti tilam, makanan, air bersih dan kemudahan kesihatan.
“Ini termasuk kemudahan untuk petugas barisan hadapan yang akan memberi perkhidmatan kepada mangsa banjir di PPS,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.
Fatimah berkata, PPS di seluruh negeri mempunyai saiz dan kapasiti berbeza mengikut keperluan setempat, dengan semua pusat itu kini bersedia untuk menerima mangsa sekiranya berlaku pemindahan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang sebelum ini mendedahkan MTL yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan akan memberi kesan awal kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang, yang diramal mengalami hujan lebat berterusan pada fasa November hingga Disember.
Memasuki Disember dan Januari, katanya hujan berterusan dijangka tertumpu di selatan Terengganu, Pahang dan Johor. Sabah dan Sarawak juga berpotensi menerima kesan bergantung kepada pergerakan monsun.



