KUCHING: FELCRA Pelita Jemoreng Sdn. Bhd. menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM814,971.23 kepada Tabung Baitulmal Sarawak semalam sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat.
Penyerahan zakat tersebut dilakukan oleh Pengerusi FELCRA Pelita Jemoreng, Datuk Seri Zaidi Mahdi kepada Pengurus Besar TBS Datuk Abang Mohd. Shibli Abang Mohd. Nailie pada Majlis penyerahan rasmi berlangsung di Ibu Pejabat Tabung Baitulmal Sarawak.
Ia turut disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf Datuk Abang Helmi Tan Sri Abang Ikhwan. FELCRA Pelita Jemoreng Sdn. Bhd. ialah syarikat usahasama antara FELCRA Berhad dengan LCDA Holdings Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA).
Syarikat ini terlibat dalam pembangunan ladang kelapa sawit di Bahagian Mukah, dengan 2,710.7 hektar tanah di kawasan Matu Daro telah ditanam dengan kelapa sawit.

