KUCHING: Penganjur Rock-In-The-City (RiTC) 2026 mengumumkan lokasi penganjuran festival muzik itu dipindahkan ke Esplanade Kuching yang terletak bersebelahan Hotel Grand Margherita, bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengunjung sepanjang acara berlangsung pada 29 dan 30 Ogos ini.
Keputusan menukar lokasi dibuat selepas mengambil kira keperluan ruang yang lebih luas serta kemudahan yang lebih sesuai untuk menampung kehadiran peminat muzik rock.
Menurut jawatankuasa penganjur, pertukaran lokasi tidak menjejaskan perjalanan program kerana semua pengisian kekal berlangsung mengikut jadual asal bermula pukul 7.15 malam hingga 12 tengah malam pada kedua-dua hari penganjuran.
“Penganjur turut memberi jaminan bahawa semua tiket yang dibeli sebelum ini masih sah digunakan dan pemegang tiket tidak perlu membuat sebarang pertukaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Festival berkenaan dianjurkan oleh Aiee Event Management dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP Sarawak) serta Tourism Malaysia.
Antara kemuncak RiTC 2026 ialah kemunculan buat julung kalinya kumpulan rock terkenal dari Indonesia, Peterpan, yang bakal mengadakan persembahan di Kuching pada malam 29 Ogos.
Persembahan malam pertama turut menampilkan Post Mortem Education dari Sarawak serta Secret Signal dari Brunei yang dijangka memanaskan pentas festival berkenaan.
Pada malam kedua, peminat bakal disajikan persembahan daripada Senseless dan Fearless yang mewakili Sarawak, selain kemunculan Barbarik dari Kuala Lumpur.



