KUCHING: Selepas tiga tahun tayangan sulungnya, filem dokumentari Gawai Antu kembali menemui penonton bermula 19 hingga 24 Oktober ini.
Filem berdurasi satu jam itu akan ditayangkan selama enam hari berturut-turut di Auditorium, Aras Bawah Muzium Budaya Borneo (BCM) dengan dua sesi tayangan setiap hari iaitu 11 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 3 petang.
Penganjur menerusi kenyataan berkata, tayangan semula tersebut diadakan ekoran sambutan dan maklum balas positif yang diterima sejak tayangan perdana pada 2022.
Katanya, filem tersebut juga menonjolkan hubungan erat semua peringkat umur dan jantina dalam komuniti Iban khususnya wanita yang memainkan peranan penting dalam ekosistem budaya tersebut.
“Pelibatan ini menyerlahkan sumbangan besar wanita terhadap pemeliharaan budaya, serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menghargai dan meneruskan tradisi ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya, sepanjang enam hari tayangan, para wanita dari Rumah Gensurai, Layar, Betong turut hadir dan memberi sokongan secara langsung di BCM mewakili rumah panjang mereka untuk menghidupkan semula semangat Gawai Antu.
“Kehadiran mereka bukan sahaja memeriahkan suasana, tetapi juga memberi peluang untuk berkongsi pengalaman serta naratif sebenar dengan para pengunjung,” ujarnya.
Dalam pada itu, penganjur juga memberitahu, pihaknya berterima kasih kepada Jabatan Muzium Sarawak — rakan strategik utama yang terus memberikan sokongan untuk tayangan kali kedua ini.
Selepas tayangan pertama pada 19 Oktober kelak, satu sidang media dan sesi perkongsian akan diadakan bersama-sama Penerbit Eksekutif, Barbara Dubah Jabu serta penerbit dan pengarah, Loo Shun Ming.


