KUCHING: Borneo Unity hanya selangkah lagi untuk menjulang Piala Cabaran Cahya Mata 2026 apabila dijadual menentang Admania FC pada aksi final di Padang A, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Ahad ini.
Aksi penentuan itu dijadualkan bermula 3 petang, dengan Borneo Unity membawa momentum positif selepas membelasah Samarando FT 6-2 pada separuh akhir.
Ketua jurulatihnya, Mohammad Al Aminurashid Roslee, berkata perjalanan pasukannya ke final memperlihatkan peningkatan ketara dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Setiap kemenangan menjadi pembakar semangat, setiap cabaran menjadi pengalaman dan setiap kesilapan menjadi pengajaran. Inilah yang menjadikan perjalanan kami ke final begitu bermakna,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.
Borneo Unity sebelum itu tewas 0-2 kepada Kelab Bolasepak Aspura pada pusingan 32 Piala Cahya Mata 2026 sebelum meneruskan saingan dalam Piala Cabaran.
Skuad dari Kota Samarahan itu kemudian menewaskan OPC 4-0 pada pusingan 16, mengatasi Mix Hajiba 4-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 pada suku akhir, sebelum menyingkirkan Samarando FT 6-2 pada separuh akhir.
Aminurashid berkata, aksi final menuntut pemainnya menampilkan disiplin, semangat dan keyakinan yang sama seperti dipamerkan sepanjang kempen.
“Admania FC pastinya hadir dengan kekuatan dan misi mereka sendiri, tetapi Borneo Unity juga mempunyai sesuatu yang tidak boleh dibeli iaitu semangat, kesatuan dan kepercayaan antara satu sama yang lain,” katanya.
Piala Cahya Mata 2026 anjuran Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata) menghimpunkan 256 pasukan dan lebih 11,000 pemain amatur dari seluruh negara, dengan keseluruhan hadiah melebihi RM700,000.
Bagi Piala Cabaran, juara bakal menerima RM2,000, piala dan pingat, manakala naib juara membawa pulang RM1,000 dan pingat. Dua pasukan tempat ketiga bersama pula masing-masing menerima RM500 dan pingat.



