JULAU: Sebanyak RM50,000 disalurkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau No.2 bagi membolehkan pihak sekolah mendapatkan televisyen pintar (Smart TV) bagi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin, ketika menghadiri Program Penangguhan Jogathon PIBG 2026 dan Betik Run 2026 di sini hari ini.
“Kemudahan teknologi dalam bilik darjah ini amat penting bagi membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih teratur, interaktif dan berkesan, sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran lebih baik kepada murid,” katanya.
Sehubungan itu, beliau juga menggalakkan pihak sekolah supaya terus menganjurkan pelbagai program kokurikulum dan aktiviti menarik bagi mencungkil bakat serta mengembangkan potensi murid di luar bidang akademik.
Katanya, penglibatan aktif dalam kegiatan sukan bukan sahaja membentuk kecergasan fizikal, malah mendidik murid supaya mengamalkan gaya hidup sihat, berdisiplin dan mempunyai semangat berpasukan.
Beliau turut mengambil kesempatan mendengar beberapa keperluan serta kekangan yang dihadapi pihak sekolah, khususnya kekurangan peralatan sokongan pembelajaran yang memerlukan perhatian dan tindakan sewajarnya.
Dalam pada itu, penganjuran Jogathon PIBG dan Betik Run 2026 turut mencerminkan komitmen warga SMK Julau No.2 dalam menggalakkan penyertaan murid dalam aktiviti kecergasan dan sukan.
Program berkenaan juga mengetengahkan kebanggaan sekolah terhadap pencapaian rekod dunia berkaitan ketinggian pokok betik, yang menjadi identiti tersendiri serta inspirasi kepada warga sekolah untuk terus menganjurkan aktiviti berteraskan keunikan tersebut.
“Saya akan terus memberikan sokongan terhadap usaha pihak sekolah dalam melaksanakan program pembangunan murid, termasuk aktiviti sukan dan pendidikan, bagi melahirkan generasi yang seimbang, berketerampilan serta berdaya saing,” katanya.




