KUCHING: Penubuhan Lembaga Padi dan Beras bakal memperkukuh keupayaan pelaksanaan di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) melalui struktur institusi yang lebih khusus dan terselaras.
ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, kementerian itu sendiri kekal sebagai pihak berkuasa penyelia.
“Penubuhan lembaga ini bukan bermakna kementerian gagal atau tidak fokus menjalankan tanggungjawab mereka.
“Sebaliknya, bertujuan mengukuhkan struktur institusi dan pengkhususan dalam bidang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa isu keterjaminan makanan kini menjadi jauh lebih kompleks dan strategik berbanding sebelumnya.
“Pembangunan moden sektor padi kini bukan lagi hanya melibatkan pentadbiran pertanian biasa, tetapi memerlukan sistem pengairan bersepadu, mekanisasi, pemantauan digital dan penyesuaian perubahan iklim.
“Ia turut memerlukan penyelidikan dan pembangunan benih, pengurusan stok simpanan, penyelarasan logistik serta perancangan strategik jangka panjang.
“Selari dengan sektor yang berkembang dari semasa ke semasa, kita mewujudkan agensi dan mekanisme institusi yang lebih khusus,” jelasnya.
Berkenaan pengumuman RM950 juta yang sering dibangkitkan oleh ADUN Padungan, Chong Chieng Jen, beliau menjelaskan bahawa projek dan inisiatif berkaitan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.
“Jadi jika Chong menyatakan projek itu gagal, maka beliau merujuk perkara itu kepada Kerajaan Persekutuan di Parlimen,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan semasa di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah berbeza kerana digerakkan oleh pembiayaan dan inisiatif Sarawak sendiri.
“Hari ini, Kerajaan Sarawak menggunakan wang dan inisiatif sendiri untuk memperbaiki keadaan di bawah kerajaan GPS,” tambahnya.
Lo turut menekankan kejayaan projek padi di Gedong yang berjaya menuai hasil tiga kali setahun.
Katanya, hasil pengeluaran meningkat dengan ketara daripada satu tan kepada lapan tan padi bagi setiap ekar, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan baharu Sarawak.
“Walaupun pelaksanaan sebelum ini menghadapi cabaran, tindak balas yang logik bukanlah menolak reformasi atau memperlekehkan inisiatif baharu.
“Tetapi, bergerak ke hadapan dan menerima penyelesaian yang lebih baik. Itulah yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak menerusi penubuhan lembaga ini,” katanya.


