Forkey Doe cuba nasib di Kuching FA?

BEKAS penyerang Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu, Francis Forkey Doe, 34, akan mencuba nasib bersama-sama pasukan Kuching FA yang akan bersaing dalam Liga Premier 2020.

Menurut Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman, mereka mengalu-alukan kehadiran pemain yang cukup berpengalaman dari Liberia itu.

“Kita akan buat penilaian terperinci. Kita akan ambil kira tahap prestasi dan sumber kewangan sebelum membuat keputusan.

“Sekarang ini kita masih dalam proses pemilihan beberapa pemain sejak lima hari yang lalu,” jelas Fazzarudin.

“Pemain import dari Korea Selatan juga turut serta dan tiga pemain tempatan dari Semenanjung Malaysia,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Tambah beliau, tiga pemain dari Semenanjung Malaysia merupakan pemain yang beraksi dalam Liga M3. Selain itu, dua pemain yang beraksi cemerlang dalam Liga Kuching LSC 2019 daripada pasukan Yayasan Sarawak dan Kasika CF bakal diambil.

Pemain import dari Jepun, Yuta Suzuki akan dikekalkan. Sementara itu, penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha juga dikaitkan dengan pasukan Kuching FA setelah penyerang handalan itu tidak disambung kontrak oleh pasukan Pahang.

Malah pemain yang dikenali sebagai Mat Yo itu berjumpa dengan pihak pengurusan Kuching FA di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut berada dalam senarai pemilihan Kuching FA ialah pemain Indonesia, Saddil Ramdani, pemain sayap yang turut diketepikan pasukan Pahang.