ARTIKEL

Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli daripada pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi melambai kepada penonton selepas sesi latihan hari kedua menjelang Grand Prix Motosikal Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang. -Foto BERNAMA

GP Malaysia 2026: Hakim Danish Raih Petak Ketiga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEPANG: Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli meletakkan dirinya dalam kedudukan terbaik untuk memburu podium Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026 selepas meraih petak ketiga pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mencatat masa dua minit 10.52 saat (s), sekali gus memastikan beliau memulakan perlumbaan dari barisan hadapan grid, esok.

Hakim Danish hanya ketinggalan 0.133s di belakang pelumba Sepanyol Maximo Quiles daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team yang meraih petak utama selepas mencatat masa terpantas 2:10.39s.

Seorang lagi pelumba Sepanyol, Brian Uriarte daripada Red Bull KTM Ajo meraih petak kedua dengan 2:10.48s.

Mengulas pencapaiannya, Hakim Danish berkata kedudukan di barisan hadapan amat penting dalam usahanya memburu podium pada perlumbaan esok, namun mengakui terpaksa bekerja keras sepanjang sesi kelayakan yang disifatkannya mencabar.

“Syukur Alhamdulillah, saya sangat gembira dapat memperoleh P3 dalam sesi kelayakan tadi. Bagi saya, sesi kelayakan bukan mudah tetapi saya bekerja keras dan setiap pusingan saya cuba memberikan yang terbaik untuk mendapatkan tempat di barisan hadapan.

“Sudah tentu, memulakan perlumbaan dari barisan hadapan esok sangat penting untuk memastikan saya dapat berada dalam kelompok handalan dan bersaing dengan pelumba-pelumba pantas hingga tamat perlumbaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi kelayakan di sini hari ini. 

Pelumba berusia 19 tahun itu berkata terdapat beberapa aspek perlu diperbaiki bagi memastikan beliau dapat menampilkan aksi terbaik dalam perlumbaan esok.

“Saya rasa sektor satu dan tiga masih perlu diperbaiki sedikit. Untuk esok, saya akan cuba meningkatkan prestasi di bahagian itu. Sebelum tiba di GP Malaysia, saya juga agak risau untuk beraksi di laman sendiri, tetapi saya tidak patah semangat dan sentiasa berfikiran positif untuk memberikan terbaik,” katanya. 

Dalam sesi kelayakan pertama (Q1), pelumba Sepanyol Angel Cruces daripada CIP Green Power muncul terpantas dengan catatan 2:11.414s.

Pelumba Itali Guido Pini (Leopard Racing) menduduki tempat kedua dengan 2:11.614s, diikuti pelumba Jepun Ryusei Yamanaka (AEON Credit-MT Helmets-MSI) ketiga dengan masa 2:11.665s.

— BERNAMA

BERITA LAIN

16 pasukan bertanding, Akademi SJN muncul juara

KUCHING: Akademi SJN dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 kategori Bawah 12 Tahun (B-12) selepas menewaskan Akademi Nexus 2-1 pada

BERITA TERBARU

Ba’Kelalan berpotensi jadi destinasi pelancongan unik

KUCHING: Keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan menjadikan Ba’Kelalan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik di Sarawak. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk