SERIAN: Penganjuran Kejohanan Softball Serian Fastpitch (CO-ED), Piala Datuk Willie Anak Mongin 2026 dilihat amat bertepatan.
Kejohanan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pasukan yang terlibat untuk mengetengahkan bakat masing-masing, malah turut menjadi penanda aras terbaik ke arah menyuntik semangat golongan belia, khususnya di Bahagian Serian.
Sekali gus, ia menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan belia dan pada masa yang sama membuktikan bahawa sukan softball mempunyai potensi besar untuk terus berkembang serta menjadi salah satu aktiviti sukan pilihan generasi muda.
Kejohanan ini juga diharap dapat menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan membina semangat kesukanan.
Pada masa yang sama, ia dapat menjadi landasan untuk mencungkil bakat baharu serta membuka ruang kepada penglibatan golongan belia secara lebih aktif dan positif.
Taee Slayers ialah salah satu pasukan yang menyertai kejohanan itu.
Pasukan itu mengetengahkan pemain dalam kalangan belia yang turut berjaya memberikan komitmen jitu.
Pasukan itu diterajui pengurus, Md Khuzairi Iqmal, selain dua jurulatih iaitu Anuar dan Hakimi, manakala Juninho selaku ketua pasukan.
Besar harapan agar kejohanan ini dapat diteruskan penganjurannya pada masa akan datang.
Ia juga diharap menjadi aktiviti tahunan golongan belia di Daerah Serian dengan penyertaan yang lebih besar.
Malah, diharapkan kejohanan ini dapat dikembangkan sebagai salah satu produk sukan dan pelancongan, khususnya di Bahagian Serian.
Sekalung tahniah kepada pihak penganjur, semua pasukan, pemain, jurulatih, pengurus serta seluruh belia yang menjayakan kejohanan bersejarah ini.
Kejohanan itu berlangsung di Kompleks Sukan Siburan dari 31 Oktober hingga 1 November.
Enam pasukan terlibat, iaitu Taee Slayers, Titans, Penrissen Diamond Alumni, Lynxtron A, Lynxtron B dan Mohawk (Pasukan Jemputan).






