KUCHING: Juara Liga Premier Sarawak 2026 Zon Selatan, Kuching FA kini selangkah lagi untuk melengkapkan kejuaraan berganda musim ini selepas mencipta sejarah mara ke final Piala Premier Sarawak buat kali pertama dengan menyingkirkan Serian FA menerusi agregat 8-2, semalam.
Ketua Jurulatih Kuching FA, Mohammad Dzulazlan Ibrahim berkata, kejayaan itu merupakan pencapaian bermakna buat pasukannya yang kini memburu gelaran kedua musim ini dan dijadual berdepan Samarahan FA pada aksi penentuan kejuaraan.
“Memang sasaran kita pada edisi kedua ini untuk mara ke perlawanan akhir dan seterusnya muncul juara.
“Saya memberikan kredit kepada semua pemain kerana mereka berjaya melaksanakan perancangan yang ditetapkan dan memberikan yang terbaik untuk merealisasikan sasaran ke final,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Menurut Dzulazlan, kejayaan itu menjadi suntikan semangat buat barisan pemain yang sebelum ini turut dinobatkan sebagai juara Liga Premier Sarawak 2026 Zon Selatan.


Beliau berkata, pasukan akan meneruskan latihan bagi memastikan tahap kecergasan dan persediaan taktikal berada pada paras terbaik sementara menunggu tarikh perlawanan akhir dimuktamadkan.
Dalam aksi separuh akhir kedua di Padang SPPS Petra Jaya itu, Kuching FA menewaskan Serian FA 4-2 selepas terlebih dahulu mencatat kemenangan 4-0 pada pertemuan pertama di Kompleks Sukan Balai Ringin.
Skuad kendalian Dzulazlan membuka jaringan menerusi Iqmal Danial Shuffian pada minit ke-14 sebelum Mohammad Shafitri Salim menggandakan kelebihan empat minit kemudian.
Serian FA cuba bangkit menerusi jaringan Gerina Wilson Subin pada minit ke-20, namun Shafitri kembali menjaringkan gol keduanya pada minit ke-39 untuk memastikan Kuching FA mendahului 3-1 pada separuh masa pertama.

Pada awal babak kedua, Wan Badzreen Wan Yusuf mengukuhkan kedudukan tuan rumah menerusi tandukan hasil sepakan penjuru pada minit ke-52 untuk menjadikan keputusan 4-1.
Serian FA berjaya merapatkan jurang menerusi Danny David pada masa kecederaan, namun jaringan itu sekadar mengurangkan defisit tanpa mampu menghalang kemaraan Kuching FA.
Terdahulu, Kuching FA turut mempamerkan ketajaman jentera serangan apabila menyingkirkan Miri FA dengan agregat 9-1 pada peringkat suku akhir.
Pertemuan menentang Samarahan FA di pentas final bakal menjadi medan penentuan buat Kuching FA untuk melengkapkan sasaran merangkul kejuaraan Piala Premier Sarawak 2026 selepas berjaya mengungguli Liga Premier Sarawak Zon Selatan.






