KUCHING: Akademi SJN dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 kategori Bawah 12 Tahun (B-12) selepas menewaskan Akademi Nexus 2-1 pada perlawanan final di Padang Sintetik KDFA, semalam.
Kemenangan itu melengkapkan kempen cemerlang Akademi SJN dalam kejohanan yang menghimpunkan 16 pasukan sejak 25 Julai lalu, sekali gus menamatkan saingan di tangga teratas selepas mengharungi peringkat kumpulan dan kalah mati.
Akademi Nexus pula terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua selepas memberikan tentangan sengit pada perlawanan akhir yang berlangsung pada jam 4.45 petang, manakala BKJ Academy menamatkan saingan di tempat ketiga.
SJN turut mendominasi anugerah individu apabila penjaga golnya, Aazim Aliff Safuan, dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik kejohanan.
Rakan sepasukannya, Muhammad Farish Qazim Johadi pula menerima Anugerah Pemain Terbaik hasil persembahan sepanjang kejohanan.


Sementara itu, Nexus turut meraih pengiktirafan menerusi Anugerah Permainan Bersih, selain pemainnya, Adam Danial Laili, dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak.
Kejohanan anjuran PETRONAS itu sebahagian daripada program korporat syarikat berkenaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat bola sepak akar umbi serta penglibatan belia dalam aktiviti sukan.
Penganjuran kategori B-12 di Kuching bermula pada 25 Julai lalu dengan penyertaan 16 pasukan sebelum diteruskan dengan saingan peringkat kalah mati sehingga perlawanan final pada 31 Oktober.
Selain Kuching, kejohanan kategori yang sama turut dianjurkan di Bintulu bermula 23 Ogos lalu sebagai usaha memperluas peluang penyertaan pemain muda dari pelbagai kawasan di Sarawak.

Program berkenaan turut merangkumi kategori Bawah 8, Bawah 10, Bawah 14 dan Bawah 16 Tahun bagi menyediakan platform pertandingan kepada pemain muda mengikut peringkat umur masing-masing.
Menerusi kerjasama dengan rakan strategik, PETRONAS terus menyediakan peluang kepada pemain muda Sarawak untuk mengembangkan bakat, meningkatkan kemahiran serta memperoleh pengalaman bertanding secara kompetitif.
Majlis penyampaian hadiah dan penutupan kejohanan disempurnakan oleh wakil Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Pemangku Ketua Bahagian Pembangunan Sukan, Dedia Sarini Ahmad, bersama Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah M. Rabu.
Turut hadir wakil Lea Sport Centre, Melati Melabeh, yang turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pasukan dan pemain terbaik kejohanan.






