KUCHING: Keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan menjadikan Ba’Kelalan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, potensi itu perlu diperkasa menerusi kerjasama semua pihak, khususnya dalam menaik taraf kemudahan pelancongan serta mempromosikan produk kraftangan tempatan.

“Justeru, saya berharap kita dapat bekerjasama mengenal pasti peluang pembangunan, termasuk memperkukuh produk kraftangan tempatan agar dapat diketengahkan ke peringkat lebih luas,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam Perpaduan Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian N81 Ba’Kelalan di Lawas atas jemputan penyandang kerusi berkenaan, Baru Bian.
Tiong berkata, meskipun Ba’Kelalan terletak jauh dari segi geografi, kawasan itu tetap mendapat perhatian kepimpinan PDP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus memperkukuh perpaduan serta bekerjasama dengan PDP dan Kerajaan GPS bagi memastikan pembangunan dan masa depan lebih baik untuk penduduk setempat.
Sementara itu, beliau berkata keadaan jalan raya dan pembangunan infrastruktur di Ba’Kelalan menunjukkan kemajuan berbanding kunjungan terakhirnya ke kawasan itu pada 2021.
“Perkembangan ini amat menggembirakan. Namun, usaha pembangunan perlu diteruskan secara berperingkat bagi memastikan rakyat terus menikmati kemudahan dan peluang yang lebih baik,” katanya.




