ARTIKEL

RAJA SUNGAI… Pasukan Todak Berjaya meraikan kejayaan selepas muncul juara kategori tempatan Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Regata Sarawak sempena Festival Tebingan Kuching 2026, hari ini.

Tanpa penaja, Todak Berjaya cipta sejarah Raja Sungai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hanya berbekalkan kira-kira 40 pekayuh tanpa penaja, pasukan kampung Todak Berjaya mencipta kejutan apabila muncul juara kategori Raja Sungai tempatan bagi merebut Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Regata Sarawak 2026 di Sungai Sarawak, hari ini.

Pengurus pasukan, Kaunselor Kasdi Pandi berkata, kejayaan dalam acara kemuncak Bidar 30 Pekayuh Lelaki itu di luar jangkaan, terutama apabila mereka terpaksa bersaing dengan pasukan lebih ternama dan berpengalaman.

“Semangat dan komitmen semua pekayuh menjadi kunci utama kejayaan ini, selain rezeki daripada Allah SWT,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas perlumbaan, hari ini.

Kekurangan jumlah pekayuh menyebabkan pasukan itu terpaksa menyusun strategi khusus dan hanya menyertai dua acara bagi memastikan tenaga dapat ditumpukan kepada perebutan gelaran Raja Sungai.

“Kami hanya mempunyai kira-kira 40 pekayuh, jadi kami terpaksa memilih dua acara sahaja, iaitu kategori 25 dan 30 pekayuh.

“Ini memang strategi kami untuk menjimatkan tenaga supaya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada acara Raja Sungai,” jelasnya.

Kejayaan menewaskan pasukan lebih dikenali membuktikan semangat berpasukan, disiplin dan kesungguhan berlatih mampu menjadi kekuatan utama walaupun berdepan kekangan sumber.

Kasdi turut mengalu-alukan penyertaan pekayuh baharu yang berminat menyertai pasukan itu, namun menegaskan komitmen menjalani latihan menjadi syarat utama.

Beliau berharap kejayaan berkenaan menjadi pembakar semangat kepada semua anggota pasukan untuk meningkatkan persiapan bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Dalam perebutan gelaran Raja Sungai kategori tempatan, Landas Saga Sebuyau 3 menduduki tempat kedua, manakala Udak-8 di tempat ketiga.

Kejayaan Todak Berjaya turut menyaksikan gelaran Raja Sungai bertukar tangan selepas Landas Azam Kasihnya Warisan mengungguli acara sama pada edisi 2025 dengan catatan masa 7 minit 13.63 saat.

Pada perlumbaan tahun lalu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA)-10 menduduki tempat kedua dengan masa 7 minit 17.90 saat, manakala Bedilku Seri Putih (Adidas) di tempat ketiga dengan catatan 7 minit 18.66 saat.

Dalam acara Bidar 30 Pekayuh Lelaki Terbuka (Antarabangsa Borneo) bagi merebut Piala Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Yayasan Sarawak Puteri Dang Balai muncul juara.

Pasukan Pusaka 4-(A) menduduki tempat kedua, manakala Sinaran Ratu Siska Sambas di tempat ketiga.

Sementara itu, Kelisa Indomarine mengungguli acara Perahu Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki VIP Terbuka bagi merebut Piala Premier Sarawak, diikuti Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak di tempat kedua dan Landas di tempat ketiga.

Hadiah bagi acara berkenaan disampaikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Regata Sarawak 2026 berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November, mempertandingkan 18 acara akhir dalam kategori tempatan dan terbuka, dengan jumlah hadiah keseluruhan RM378,400 termasuk piala.

Penganjuran sempena Festival Tebingan Kuching 2026 bertemakan Race for Harmony itu turut meneruskan tradisi perlumbaan perahu di Sungai Sarawak yang bermula sejak 1872, sekali gus mengekalkan warisan sukan air negeri ini.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan