KUCHING: Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai dakwaan dalam surat layang yang tular di media sosial, termasuk senarai kononnya membabitkan menteri yang bakal digugurkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13).
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, maklumat tanpa identiti pengirim dan pengesahan kesahihan tidak wajar diterima bulat-bulat kerana berpotensi memburukkan individu tertentu serta membentuk persepsi awam.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu berkata, kemudahan media sosial kini membolehkan dakwaan tidak berasas, termasuk berkaitan pemilihan calon pilihan raya, disebarkan dengan pantas.
“Nama sahaja sudah surat layang. Apabila dinamakan surat layang, ia tidak menyatakan siapa pengirimnya.
“Jadi, tidak semestinya perkara yang disebarkan itu benar,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan Regata Sarawak di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.
Menurutnya, penyebaran surat layang yang dahulunya menggunakan surat fizikal tanpa tandatangan kini beralih ke platform digital, sekali gus mempercepat penyebaran sesuatu dakwaan.
Beliau berkata, penyebaran gambar individu yang dikaitkan dengan senarai calon PRU Sarawak juga boleh menimbulkan tanggapan seolah-olah mereka sudah mendapat sokongan atau persetujuan kepimpinan parti.
Katanya, tindakan sedemikian berkemungkinan bertujuan menguji reaksi orang ramai atau membentuk persepsi bahawa individu tertentu sudah dipilih sebagai calon.
Bagaimanapun, Abdul Karim menegaskan proses pemilihan calon PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak dilakukan menerusi penyebaran gambar kepada umum sebelum pengumuman rasmi.
“Daripada pengalaman saya dalam PBB dan GPS, kita tidak menyebarkan gambar individu yang hendak diletakkan sebagai calon. Sebaliknya, pengumuman dibuat dalam satu majlis rasmi oleh Premier Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya berkaitan pemilihan calon dan dakwaan salah laku terhadap pemimpin.




