ARTIKEL

Abdul Karim merasmikan Bengkel Fotografi Serantau 2026 di Kuching, hari ini. FOTO: GHAZALI BUJANG

Fotografi pemangkin pembangunan mampan dan ekonomi kreatif Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Fotografi bukan lagi sekadar medium merakam keindahan destinasi pelancongan, sebaliknya berperanan sebagai pemangkin pembangunan mampan, ekonomi kreatif dan pemeliharaan warisan budaya Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap imej Sarawak yang dikongsi kepada dunia berpotensi menarik lebih ramai pelancong, mengukuhkan jenama negeri serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.

Menurut beliau, fotografi pelancongan yang berkesan tidak hanya memaparkan panorama indah, malah perlu menceritakan identiti sesuatu destinasi termasuk masyarakat, budaya, warisan, nilai dan pengalaman yang menjadikan sesebuah tempat itu unik.

“Kita perlu memastikan fotografi bukan sekadar alat promosi pelancongan, tetapi sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat, budaya dan destinasi.

“Justeru, jurugambar profesional dan persatuan fotografi mempunyai peranan penting sebagai rakan strategik dalam pembangunan industri ini dengan mengetengahkan imej Sarawak yang autentik, menarik dan menghormati nilai budaya masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Bengkel Fotografi Serantau 2026 sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-14 Persatuan Fotografi Profesional Asia Bersatu dan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Persatuan Fotografi Komersial Malaysia di sini, hari ini.

Tambah beliau, fotografi juga mampu memperkasakan pelancongan berasaskan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar yang kurang menerima kunjungan pelancong melalui dokumentasi budaya, kraf tangan, makanan tradisional, festival serta kehidupan masyarakat setempat.

“Pendedahan seperti ini dapat membantu pengusaha pelancongan berskala kecil dan usahawan tempatan menembusi pasaran yang lebih luas.

“Apabila lebih ramai pelancong datang, manfaat ekonominya turut dirasai pengusaha inap desa, pemandu pelancong, pengusaha pengangkutan, penggiat kraf tangan, pengeluar makanan serta perniagaan kecil lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, program berkenaan menghimpunkan lebih 120 jurugambar profesional, pemimpin persatuan dan penggiat industri dari China, Thailand, Brunei Darussalam, Singapura dan Malaysia bagi membincangkan perkembangan teknologi, trend industri, amalan terbaik serta memperkukuh jaringan kerjasama serantau dalam bidang fotografi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU