PASUKAN Frenzo FT dinobatkan s juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Krismas 2025/2026 setelah menewaskan Uni City FC 2-1 dalam perlawanan akhir di Padang Bola Sepak Kampung Melanjok, Simunjan.
Kejohanan anjuran Biro Sukan Kampung Melanjok Asal itu berlangsung pada 27 Disember 2025 hingga 18 Januari dan disertai 18 buah pasukan dari sekitar Daerah Simunjan, dengan format pertandingan secara kalah mati.
Pada aksi final itu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi sengit dan penuh intensiti dengan saling melancarkan serangan.
Frenzo FT bagaimanapun tampil lebih tersusun dan berdisiplin untuk mengesahkan kemenangan 2-1 hasil dua jaringan penyerang mereka, Amirul Hassuna, yang muncul wira perlawanan.
Sepanjang kejohanan, Frenzo FT mempamerkan prestasi konsisten apabila membuka kempen dengan kemenangan besar 4-0 ke atas QR Trooper pada perlawanan pertama, diikuti kemenangan 2-1 menentang Black Mamba pada perlawanan kedua.
Pasukan itu kemudiannya mara ke pusingan seterusnya dengan kemenangan percuma sebelum melangkah ke perlawanan akhir.
Kejayaan ini amat bermakna buat Frenzo FT apabila mereka berjaya menewaskan Uni City FC yang sebelum ini pernah muncul juara di Temong Mawang Tebedu dan menyingkirkan Frenzo FT pada peringkat akhir kejohanan awal tahun lalu.
Pengurus pasukan Frenzo FT, Suria Abeng, meluahkan rasa gembira dan bangga atas kejayaan pasukannya merangkul kejuaraan tersebut.
“Saya dan para pemain berasa sangat gembira dengan kemenangan kali ini. Semangat juang yang ditunjukkan oleh para pemain amat cemerlang.
Mereka berdisiplin tinggi dan sentiasa mematuhi taktikal yang telah dirancang,” katanya kepada Suara Sarawak.
Menurut beliau, ketenangan serta kawalan emosi pemain menjadi kunci utama kejayaan Frenzo FT dalam perlawanan akhir yang berlangsung agak keras.
“Walaupun perlawanan berlangsung dengan tekanan tinggi, pemain kami kekal fokus sehingga wisel penamat.
Disiplin serta keupayaan mengawal permainan membolehkan kami menamatkan perlawanan dengan kemenangan 2-1,” jelasnya.
Dalam pada itu, Frenzo FT berjaya membawa pulang hadiah berupa piala, jersi dan wang tunai RM800, manakala naib juara membawa pulang piala, jersi serta wang tunai RM500.
Pasukan di tempat ketiga dan keempat pula masing-masing menerima piala, medal dan wang tunai RM300.
Suria turut merakamkan penghargaan kepada penaja utama pasukan, Christoper Kerry, yang menaja sepenuhnya pasukan Frenzo FT serta ketua pasukan, Noorman Dilah, atas komitmen dan kepimpinan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.
Beliau turut menzahirkan harapan agar Frenzo FT dapat mengekalkan prestasi cemerlang dan terus melakar kejayaan dalam kejohanan akan datang.
“Harapan kami, semoga Frenzo FT terus melangkah jauh dan mengekalkan kejuaraan seterusnya,” katanya.

