KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan untuk memperluas inisiatif Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) kepada bidang psikologi serta bidang-bidang bukan teknikal lain, selaras dengan keperluan tenaga kerja dan cabaran sosial yang semakin berkembang di negeri ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif tersebut dirancang untuk diperluaskan, bukan hanya tertumpu kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Psikologi amat penting pada masa kini kerana perubahan gaya hidup.
“Cabaran seperti tekanan dan kemurungan timbul akibat pelbagai bentuk tekanan yang dihadapi masyarakat. Justeru, penting untuk kita memahami kesejahteraan mental serta menggalakkan aktiviti yang membantu orang ramai mengurus tekanan, termasuk aktiviti rekreasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan peruntukan bagi pembinaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani, Jalan Kulas, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak turut meneliti kemungkinan memperluaskan inisiatif pendidikan percuma itu kepada bidang lain yang sama penting dalam menyokong pembangunan negeri.
Beliau berkata kewujudan stesen televisyen milik Sarawak, TVS, turut membuka lebih banyak peluang kepada graduan bidang seni persembahan, media dan sains sosial.
“Kita antara negeri yang mempunyai stesen televisyen sendiri, iaitu TVS, yang menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak menerusi pembangunan industri kreatif dan media di negeri ini,” ujarnya.


