SIMUNJAN: Sebagai menambah kemeriahan Pesta Simunjan 2025, jawatankuasa pengelola turut menganjurkan Kejohanan Futsal Terbuka 2025.
Pengerusi kejohanan, Mohammad Zaini Morshidi memberitahu, tiga kategori dipertandingkan pada tarikh berbeza.
Menurut Zaini, kategori yang dipertandingkan ialah lelaki terbuka yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 5 Oktober depan.
Bagaimanapun katanya, kategori wanita terbuka dan remaja bawah 17 tahun dijadual berlangsung dari 27 hingga 28 September.
“Arena Seri Nancy, Simunjan merupakan gelanggang rasmi bagi penganjuran kesemua tiga kategori terbabit,” ujar Zaini kepada Arena Suara Sarawak.
Tegas Zaini, penyertaan telah dibuka dan sebarang keterangan lanjut boleh menghubungi beliau di talian 019-8468919 dan Gidien (019-8382524).
“Yuran pendaftaran sedikit berbeza. RM350 untuk kategori lelaki terbuka, RM250 bagi kategori wanita terbuka serta RM150 untuk kategori remaja bawah 17 tahun,” tambah Zaini.
Katanya, penganjuran kali ini menyediakan hadiah berupa wang tunai, piala dan pingat.
Bagi kategori lelaki terbuka, pasukan yang berjaya muncul juara akan menerima wang tunai RM4,000 beserta piala dan pingat.
Tempat kedua menerima wang tunai RM3,000 beserta piala dan pingat.
Tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima wang tunai RM2,000 serta RM1,000 selain piala dan pingat.
“Bagi kategori wanita terbuka, tempat pertama hingga keempat akan menerima wang tunai RM3,000, RM2,000, RM1,000 dan RM500 termasuk piala dan pingat,” ujar Zaini.
Dalam pada itu, tempat pertama dan kedua kategori remaja bawah 17 tahun masing-masing akan menerima wang tunai RM2,500, RM1,500 selain piala dan pingat.
Dua pasukan yang tewas masing-masing akan menerima wang tunai RM500, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga.
Tidak hanya itu, hadiah wang tunai RM300 turut disediakan untuk anugerah pasukan terbaik.
Hadiah wang tunai RM150 disediakan bagi pemenang anugerah pemain terbaik, penjaring terbanyak dan penjaga gol terbaik.

