KOTA SAMARAHAN: Kelab Bola Sepak V-Foss FC akan menganjurkan Karnival Futsal Piala Remaja Bawah 16 Tahun 2025.
Pengerusi karnival, Abdul Muhtalip Tegak memberitahu, karnival berkenaan dianjurkan bagi memeriahkan suasana sempena sambutan Hari Sarawak pada tahun ini.
Katanya, karnival berkenaan berlangsung pada 27 Julai ini bertempat di Pusat Sukan Sentosa, Jalan Stakan.
“Kita menyeru pasukan berminat untuk menyertai karnival ini.
Sebarang keterangan lanjut boleh menghubungi saya di talian 012-8844581,” ujar Muhtalip kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, karnival ini terhad kepada 16 pasukan sahaja dengan format diguna pakai ialah liga peringkat kumpulan.
“Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir,” tambah Muhtalip.
Dalam pada itu, Muhtalip menyatakan, pemain dari Sekolah Sukan Negeri Sarawak (SSNS) dan pernah beraksi di MPFL tidak dibenar menyertai karnival kali ini.
Karnival kali ini menyediakan hadiah kepada tiga kelompok terbaik.
Pasukan yang berjaya muncul juara akan menerima wang tunai RM600, piala dan baucar barangan sukan jenama PUC (RM100).
Naib juara pula akan menerima wang tunai RM400, piala dan baucar barangan sukan jenama PUC (RM80).
Dua pasukan yang tewas peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM200, piala dan baucar barangan sukan jenama PUC (RM50).



