KUCHING: Penggabungan Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu (PSB) Disember depan tidak melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) buat masa ini, kata Datuk Snowdan Lawan.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu berkata, ia kerana kata sepakat yang dicapai oleh kedua-dua parti berkenaan adalah perkara luar (tiada kaitan dengan GPS).
“Sekarang kita masih melihat ia perkara luar daripada GPS, ini antara majlis tertinggi atau memorandum antara parti, tidak lebih daripada itu.
“Hal ini cuma berlaku pada PDP sahaja… jadi ia tidak melibatkan GPS,” katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Imperial hari ini.
Bagaimanapun katanya, persetujuan adakah parti gabungan itu akan menjadi komponen GPS nanti akan ditentukan secara bersama oleh Majlis Tertinggi GPS.
Setakat ini katanya, pihaknya hanya menunggu keputusan susulan yang akan diputuskan oleh ahli majlis tertinggi GPS mengenai hasil gabungan kedua-dua parti itu.
“Majlis tertinggi GPS yang menentukan sama ada ia perlu dibawa pada mesyuarat untuk dibincangkan lanjut sekiranya perlu pada masa depan,” ujarnya.
Terdahulu, Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing mengesahkan Parti PDP dan PSB akan bergabung menjadi satu parti menjelang Disember tahun ini.
Pengesahan itu diumum sebaik selesai Majlis Makan Malam Perpaduan di Sibu pada Sabtu.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas restunya untuk membolehkan mereka bekerjasama.
“Saya harap harapan terlaksana untuk kami bergabung menjelang Disember,” katanya.





