SIMANGGANG: Rakyat Sarawak perlu menjaga kepentingan dan menentukan masa depan negeri sendiri menjelang ‘lumba perahu’ (Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 Sarawak) tidak lama lagi.
Itu ditegaskan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang turut mengingatkan rakyat supaya berwaspada terhadap pihak tertentu yang cuba membuat ‘benak’ kerana cemburu dan mahu memecahbelahkan perpaduan.
Katanya, dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini, rakyat perlu memahami bahawa meskipun demokrasi memberikan kebebasan kepada semua pihak untuk bertanding, kepentingan dan masa depan Sarawak perlu menjadi keutamaan.
“Dalam masa dua, tiga bulan ini, berhati-hati. Demokrasi yang bebas. Anda bebas untuk bertanding, tetapi asasnya ialah kita perlu menjaga kepentingan dan masa depan sendiri sebagai rakyat Sarawak.
“Dan hanya parti kita, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sahaja yang mampu melakukannya,” katanya ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.
Jelasnya, kemenangan GPS penting bagi memastikan kepentingan rakyat Sarawak terus terpelihara dan negeri terus bergerak maju menerusi kesinambungan agenda pembangunan negeri.
“Jaga kerja-kerja kita. Bukan untuk Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bukan untuk pemimpin, tetapi untuk memastikan Sarawak terus dijaga.
“Seperti kata Pehin Sri Adenan Satem, tiada orang lain dapat mengurus Sarawak melainkan rakyat Sarawak sendiri.
“Jika orang luar yang mengurusnya, keadaan boleh menjadi teruk kerana kita bimbang projek-projek untuk Sarawak dibatalkan lagi,” ujarnya.
Abang Johari berkata, beliau bersama pasukannya bekerja keras meningkatkan pendapatan dan hasil negeri, sekali gus membolehkan manfaatnya dinikmati rakyat, khususnya anak-anak Sarawak yang mendapat faedah menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Katanya, pelaksanaan inisiatif itu turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan peluang pendidikan diberikan secara adil kepada semua anak Sarawak tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Kita adil kepada semua anak Sarawak,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa rakyat supaya terus menjaga perpaduan dan memastikan Sarawak berada pada landasan yang betul, lebih-lebih lagi apabila negeri ini semakin mendapat perhatian dunia.
Katanya, kestabilan dan keharmonian perlu terus dipelihara bagi memastikan perkhidmatan serta pembangunan dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
“Jangan ada kucar-kacir kerana kita adil dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” tegasnya.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan beliau tidak akan berundur daripada perjuangan menuntut dan mempertahankan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk kepentingan negeri dalam industri minyak dan gas.
Menurutnya, sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri menjadi dorongan untuk meneruskan perjuangan tersebut.
“Ramai yang memberikan sokongan kepada kepimpinan kita.
“Selagi sokongan itu ada, kita akan terus berjuang, termasuk dalam memperjuangkan kepentingan industri minyak dan gas.
“Saya tidak akan berundur dalam memperjuangkan hak Sarawak di bawah MA63. Kita tidak akan mengalah. Agi Idup Agi Ngelaban, selagi itulah kita akan terus berjuang, termasuk dalam memperjuangkan hak Sarawak,” katanya.




