SIBU: Polis telah menahan seorang lelaki berusia 26 tahun ekoran penularan satu video yang menunjukkan satu pergaduhan di terminal bas Jalan Pahlawan di sini.
Menurut satu kenyataan daripada Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Ahad (14 April).

“Pada 14 April 2024, lebih kurang jam 10.29 malam, satu laporan polis berhubung kejadian itu telah diterima daripada seorang pengadu yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun.
“Pengadu mengatakan pada tarikh yang sama, lebih kurang jam 5 petang, semasa pengadu menunggu bas di Jalan Pahlawan di sini, dia telah didatangi oleh tiga orang lelaki yang tidak dikenali lalu terus menyerang pengadu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkipli berkata, pengadu kemudian mengatakan dia telah dibawa masuk oleh suspek ke dalam sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda menuju ke sebuah rumah di Jalan Sentosa di sini.
Bertindak atas maklumat awam, tegasnya, pada tarikh yang sama sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah berjaya menangkap salah seorang suspek lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, suspek telah ditahan reman selama tiga hari hingga 18 April 2024.
“Hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan pengadu telah keluar dengan isteri suspek.
“Disebabkan rasa marah, suspek bersama tiga lagi rakan suspek yang masih bebas telah bertindak memukul dan mengugut pengadu supaya tidak mengganggu isteri suspek lagi,” ujarnya.
Beliau mengatakan kes disiasat di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan.
“Bagi kesalahan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dan jika disabitkan kesalahan, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
“Manakala kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh boleh sampai setahun, atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000, atau dengan kedua-duanya,” tegasnya.
Rentetan itu, Zulkipli menyeru kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian yang berlaku.




