KUCHING: Seramai 851 graduan bakal menerima pengiktirafan atas kejayaan menamatkan pengajian dalam bidang kemahiran masing-masing pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills Ke-28 yang dijadualkan berlangsung pada 12 November ini.
Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri berkata, majlis konvokesyen itu bukan sekadar meraikan pencapaian akademik dan teknikal graduan, malah mencerminkan komitmen berterusan institusi berkenaan dalam pembangunan modal insan sejak lebih tiga dekad lalu.
Katanya, majlis tersebut juga melambangkan satu lagi pencapaian bermakna dalam usaha berterusan melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan industri Sarawak.
“Seiring dengan usaha negeri ini merealisasikan aspirasi pembangunan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak Skills kekal komited memperkukuh latihan berasaskan industri melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, pihak industri dan rakan pendidikan.
“Keutamaan kami adalah memastikan graduan bukan sahaja memiliki kelayakan yang diiktiraf, malah menguasai kemahiran praktikal, berupaya menyesuaikan diri serta memiliki kompetensi yang diperlukan bagi memenuhi perubahan keperluan tenaga kerja,” katanya menerusi kenyataan.
Majlis konvokesyen yang akan berlangsung di Hotel Pullman Kuching itu akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Daripada jumlah keseluruhan graduan tersebut, seramai 579 bakal menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), manakala 224 lagi dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).
Selain itu, enam graduan akan menamatkan pengajian menerusi laluan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) bagi kelayakan SKM dan DKM, manakala 42 graduan mengikuti Program Penjaga Jentera Elektrik Voltan Rendah (L1).
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa majlis konvokesyen tersebut menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan Sarawak Skills memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kompeten dan memenuhi keperluan industri untuk menyokong perkembangan ekonomi serta sektor perindustrian Sarawak.
Menurutnya, kejayaan graduan mencerminkan komitmen bersama serta kerjasama erat antara institusi, kerajaan, rakan industri, tenaga pengajar dan ibu bapa dalam melahirkan generasi profesional berkemahiran.
“Kami berbangga dengan pencapaian graduan dan berharap mereka terus mengaplikasikan ilmu pengetahuan, kemahiran serta pengalaman yang diperoleh sepanjang mengikuti pengajian di Sarawak Skills untuk membina kerjaya yang cemerlang, menyumbang kepada industri masing-masing serta memainkan peranan aktif dalam pembangunan Sarawak,” ujarnya.
Beliau memaklumkan bahawa seramai 29 graduan turut menerima Anugerah Industri pada majlis berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang dalam bidang masing-masing.
Jelasnya, majlis itu juga akan menyaksikan penyampaian anugerah khas daripada Yayasan Sarawak selain Anugerah Modal Insan bagi mengiktiraf kecemerlangan, potensi dan sumbangan dalam pembangunan modal insan.
“Sarawak Skills turut merakamkan penghargaan kepada 23 rakan industri atas tajaan dan sokongan berterusan terhadap Anugerah Industri, sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara institusi itu dengan pemain industri dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran, kompeten dan memenuhi keperluan industri.
“Pengiktirafan berkenaan turut mencerminkan komitmen Sarawak Skills dalam memupuk kecemerlangan, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada kemajuan industri dan masyarakat,” tegasnya.






