ARTIKEL

PGA rekod rampasan RM22.75 juta sepanjang separuh kedua Oktober

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Rampasan 500,000 liter diesel bersama sebuah kapal bernilai RM14.54 juta di Sibu menjadi penyumbang terbesar kepada keseluruhan rampasan RM22.75 juta yang direkodkan Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) sepanjang separuh kedua Oktober lalu.

Kejayaan itu merupakan sebahagian daripada 31 kejayaan operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh Sarawak antara 15 hingga 31 Oktober, sekali gus membawa kepada penahanan 38 individu.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai berkata, daripada jumlah individu yang ditahan, 27 merupakan warga tempatan manakala 11 lagi warga asing.

“Kejayaan tersebut dicapai menerusi lima operasi utama, iaitu Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Batas/Awas, Op Taring Chiller dan Op Taring Libas,” katanya.

Beliau menambah, Op Taring Bravo di Sibu merekodkan nilai rampasan tertinggi, iaitu RM14.54 juta, membabitkan kegiatan yang disyaki berkaitan penyelewengan diesel.

Operasi tersebut katanya membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan dan tujuh lelaki warga asing serta rampasan sebanyak 500,000 liter minyak diesel dan sebuah kapal dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM14.54 juta.

Menurut Lim, mengikuti nilai rampasan tersebut ialah Op Taring Chiller yang merekodkan lima kejayaan di Padawan, Miri, Kuching, Sibu dan Betong dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4.49 juta.

“Operasi itu membabitkan kegiatan penyimpanan serta pengedaran produk sejuk beku tanpa permit sah dengan rampasan lebih 149,000 kilogram pelbagai produk termasuk produk babi, daging, ikan dan ayam.

“Turut dirampas ialah tiga forklift, sebuah stor sejuk beku serta pelbagai peralatan dan mesin pemprosesan,” katanya.

Sementara itu kata beliau, Op Taring Libas di Marudi merekodkan rampasan bernilai RM1.50 juta menerusi satu kejayaan operasi membabitkan kegiatan pengumpulan dan pemprosesan kayu tanpa dokumen atau permit sah.

Operasi tersebut katanya membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan serta rampasan 2,440 batang kayu pelbagai saiz yang telah diproses, sebuah forklift dan pelbagai peralatan serta mesin pemprosesan kayu.

“Bagi Op Taring Alpha pula, sebanyak 19 kejayaan direkodkan di Kuching, Kota Samarahan, Sibu, Miri, Sri Aman, Serian, Lubok Antu dan Betong dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM1.31 juta,” jelasnya.

Menurut Lim, operasi berkenaan membabitkan kegiatan penyimpanan dan penjualan rokok serta minuman keras yang belum lulus pemeriksaan Kastam.

Hasil operasi tersebut kata beliau, PGA merampas 2,558 karton pelbagai jenis rokok, lebih 1,800 liter minuman keras, tiga kenderaan serta pelbagai barangan lain.

“Melengkapkan keseluruhan nilai rampasan ialah Op Taring Batas/Awas yang merekodkan lima kejayaan di Serian, Lundu dan Lubok Antu dengan nilai rampasan dianggarkan RM911,976.29.

“Operasi itu membabitkan kesalahan dadah, imigresen serta penyeludupan produk sejuk beku dan barang kawalan seperti beras, minyak masak serta gula kasar.

“Antara barangan yang dirampas ialah 4,315 kilogram produk daging sejuk beku, 14,560 peket sosej sejuk beku, dua lori, sebuah kereta, telefon bimbit dan wang tunai, selain barangan kawalan berkenaan,” katanya.

Secara keseluruhan katanya, lima operasi tersebut merekodkan 31 kejayaan dengan nilai rampasan dianggarkan RM22.75 juta, merangkumi pelbagai kegiatan yang disyaki menyalahi undang-undang.

Lim berkata, kesemua individu yang ditahan dan barang rampasan telah diserahkan kepada jabatan serta agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Katanya, usaha berterusan itu penting bagi memelihara keselamatan, ketenteraman awam serta kepentingan Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU