BINTANGOR: Penduduk Meradong menarik nafas lega apabila pusat dialisis pertama akan dibina di Tulai menerusi peruntukan RM3.5 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak.
Projek di bawah Rancangan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Khas itu mendapat kelulusan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai usaha meningkatkan akses kesihatan untuk rakyat.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing berkata projek berkenaan kini berada pada peringkat persediaan pelaksanaan selepas taklimat kepada 12 petender bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei.
Pembinaan pusat dialisis itu, katanya, dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan dan akan menyediakan 15 mesin hemodialisis.
“Kemudahan dijangka mampu menampung sehingga 90 slot rawatan sehari bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan rawatan secara berkala.
“Kewujudannya akan mengurangkan keperluan pesakit dari Meradong dan kawasan sekitar untuk berulang-alik ke pusat dialisis di luar kawasan bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kelulusan peruntukan berkenaan serta berharap pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut tempoh yang ditetapkan.
Taklimat itu turut dihadiri Jurutera JKR Bahagian Sarikei, Kennedy Kedo, manakala keputusan pemilihan kontraktor dijangka diketahui pada 28 November ini.





