ARTIKEL

Abang Johari ketika ditemui selepas menyampaikan ijazah kepada graduan pada Sidang Ketiga Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ke-30, di sini, hari ini. | Foto: Levrone Aigle

FTES mungkin diperluas di UNIMAS, UiTM dan UPM – Abang Johari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak bersetuju pada dasarnya untuk mempertimbangkan peluasan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) kepada anak Sarawak yang menuntut di tiga universiti Persekutuan yang mempunyai kampus di negeri ini.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pertimbangan itu membabitkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), khusus bagi anak Sarawak yang mengikuti pengajian di kampus di negeri ini.

“Cadangan ini dikemukakan susulan permintaan Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Hata Rasit.

“Pada dasarnya saya bersetuju.

“Namun, hari ini saya tidak mempunyai kuasa kerana kerajaan berada dalam tempoh caretaker (kerajaan sementara).

“Selepas kita kembali mempunyai kuasa dengan mandat rakyat, kita akan mempertimbangkan cadangan ini untuk diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Sidang Ketiga Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ke-30, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata peluasan itu tertakluk kepada 64 kursus yang sudah ditetapkan di bawah skim berkenaan.

Bagaimanapun, kata Abang Johari, peluasan FTES kepada anak Sarawak yang menuntut di universiti di Semenanjung Malaysia belum diputuskan.

“Yang lain menuntut di universiti di Semenanjung Malaysia, tunggu dulu.

“Saya tidak dapat memutuskannya sekarang kerana jumlahnya ramai,” tambahnya.

Sementara itu, ketika berucap, Abang Johari berkata cadangan itu akan dilaksanakan untuk anak Sarawak yang memiliki kad pengenalan berstatus indikator K.

“Insya-Allah akan diluluskan,” katanya lagi.

Beliau berkata Kerajaan Sarawak terus melabur dalam pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan FTES di empat universiti milik kerajaan negeri sejak 2026.

Bagi 2027, sebanyak RM21 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan skim itu yang dijangka memanfaatkan sehingga 10,600 pelajar.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Sarawak masih berdepan cabaran kekurangan tenaga perubatan, dengan kira-kira 1,200 kekosongan jawatan doktor di negeri ini.

Katanya, lebih ramai doktor, pakar perubatan dan profesional kesihatan yang memahami keperluan masyarakat tempatan diperlukan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat disediakan secara menyeluruh, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Bidang perubatan dan sains kesihatan bukan sahaja menuntut penguasaan ilmu serta kemahiran profesional, tetapi juga pemikiran kritis, empati dan kesediaan untuk berkhidmat kepada masyarakat,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak melaksanakan biasiswa khas program perubatan di UNIMAS sejak 2017 bagi melahirkan lebih ramai doktor dalam kalangan anak Sarawak.

Abang Johari berkata program penajaan itu berjaya melahirkan 200 doktor perubatan yang menerima tajaan Kerajaan Sarawak.

Beliau berkata penerima biasiswa yang berjaya menamatkan pengajian turut tertakluk kepada ikatan perkhidmatan selama 10 tahun di Sarawak berdasarkan syarat perjanjian.

Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan pelaburan kerajaan negeri dalam pendidikan perubatan memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya masyarakat luar bandar yang amat memerlukan perkhidmatan kesihatan.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan pelaburan Kerajaan Sarawak dalam pendidikan perubatan dapat memberikan manfaat yang berpanjangan, khususnya kepada masyarakat luar bandar yang amat memerlukan perkhidmatan kesihatan,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU