KUCHING: Kira-kira RM3.52 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur di kawasan Semaba, meliputi kerja menaik taraf sistem perparitan, jalan raya dan kemudahan rekreasi dari 2022 hingga 2026.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk menangani keperluan penduduk setempat.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, kira-kira RM1.52 juta diperuntukkan menerusi RTP, manakala sekitar RM1.99 juta disalurkan melalui dana MARRIS.
“Daripada jumlah peruntukan RTP, kira-kira RM1.24 juta digunakan untuk menaik taraf sistem perparitan, termasuk pembinaan longkang konkrit dan beberapa fasa penambahbaikan saliran di sepanjang Jalan Semaba.
“Ini termasuk projek Fasa 3 bernilai RM350,000 pada 2026 yang kini dalam pelaksanaan.
“Selain itu, sebanyak RM82,700 diperuntukkan bagi menaik taraf jalan di Lorong 7H dan Lorong Semeba 8, manakala RM200,000 digunakan untuk menaik taraf taman rekreasi di Lorong 7 dan Lorong 2, Jalan Semaba,” katanya menerusi kenyataan.
Wilfred baru-baru ini juga mengadakan sesi dialog bersama penduduk Jalan Semaba bagi mendengar keluhan, membincangkan isu setempat serta memberikan maklumat terkini mengenai projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Semaba sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa dari 2022 hingga 2026.
Beliau memaklumkan bahawa khidmat kepada masyarakat yang berkesan tidak seharusnya terhad kepada retorik politik, sebaliknya memerlukan pendekatan turun padang bagi memahami masalah penduduk, mendapatkan peruntukan sewajarnya serta memastikan projek pembangunan dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Mengulas lanjut mengenai dana MARRIS, beliau memberitahu bahawa dana berjumlah RM1.99 juta itu meliputi RM941,900.66 bagi kerja-kerja pembaikan dan penurapan semula jalan di Lorong 1 Semaba, Lorong 2B1 Semaba, Lorong 2B2 Semaba, Lorong 8 Semaba, Lorong Semaba 6, Lorong Semaba 7G dan Jalan Kampung Semeba.
“Baki kira-kira RM1.05 juta pula digunakan untuk kerja-kerja pembaikan dan penurapan semula longkang di Lorong 1 Semaba, Lorong 2B Semaba, Lorong 2B1 Semaba dan Lorong 2B2 Semaba,” ujarnya.
Wilfred yang juga penyandang kerusi DUN Kota Sentosa menyatakan bahawa peruntukan berkenaan turut mencerminkan usaha pembangunan bagi menangani keperluan lama penduduk, khususnya berkaitan keadaan jalan raya dan sistem perparitan yang memberi kesan langsung terhadap keselamatan, keselesaan serta kualiti hidup masyarakat.
Beliau menegaskan kepentingan pemantauan dan tindakan susulan secara berterusan, terutama bagi projek yang masih dalam pelaksanaan, untuk memastikan setiap peruntukan awam memberikan manfaat sebenar kepada penduduk.
“Tujuan sesi dialog diadakan adalah untuk mendengar sendiri suara rakyat.
“Penduduk merupakan pihak yang berdepan dengan masalah ini setiap hari dan maklum balas mereka penting bagi membantu kita mengenal pasti keutamaan serta menangani isu yang benar-benar memberi kesan kepada masyarakat.
“Saya percaya khidmat kepada masyarakat perlu dinilai berdasarkan komitmen, akauntabiliti dan hasil yang dicapai.
“Tidak cukup sekadar membuat janji ketika musim pilihan raya.
“Kita perlu menunjukkan apa yang sudah dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan perkara yang masih memerlukan perhatian,” jelasnya.
Beliau memaklumkan bahawa pendekatan dalam memberikan khidmat kepada masyarakat akan terus berteraskan sikap mudah didekati, tindakan susulan yang bertanggungjawab serta usaha menyelesaikan isu secara praktikal.
Katanya, beliau akan terus berhubung dengan penduduk dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengemukakan serta memperjuangkan keperluan masyarakat.
“Pembangunan perlu dirasai oleh rakyat, bukan sekadar diumumkan di atas kertas.
“Komitmen saya adalah untuk terus mendengar, bertindak secara bertanggungjawab dan berusaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” tegasnya.





