KUCHING: Tokong dan gereja di Sarawak digalakkan memohon bantuan daripada peruntukan tahunan RM50 juta Kerajaan Persekutuan bagi mempercepat kerja pembaikan serta kerja menaik taraf kemudahan rumah ibadat bukan Islam di negeri ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata Sarawak sewajarnya mendapat bahagian yang setimpal daripada peruntukan berkenaan, mengambil kira jumlah penduduk negeri ini yang merangkumi kira-kira lapan peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

Menurutnya, dengan peruntukan tersebut, lebih banyak projek pembaikan dan pembangunan rumah ibadat dapat dilaksanakan selain bantuan sedia ada yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Kerajaan Persekutuan mula menyediakan peruntukan RM50 juta setahun bagi bantuan rumah ibadat bukan Islam sejak tahun lalu, sekali gus memberi peluang kepada pengurusan tokong dan gereja di Sarawak memanfaatkan sumber pembiayaan tambahan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak pula menyediakan RM90 juta setahun untuk pembinaan, pembaikan dan kerja menaik taraf rumah ibadat agama lain, dengan jumlah peruntukan terkumpul sebanyak RM565 juta sepanjang tempoh 2017 hingga 2026.
“Sehubungan itu, pihak pengurusan rumah ibadat yang memerlukan bantuan digalakkan supaya mengemukakan permohonan melalui saluran rasmi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan bagi mempercepat pelaksanaan projek masing-masing,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Sim berkata pihaknya akan membantu Tokong Cheng Sian Tong atau Teh Boh Neo mendapatkan bantuan UNIFOR selepas bahagian pintu masuk sisi tokong itu mengalami kerosakan akibat kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas elektrik.
“UNIFOR juga akan membantu memudahkan permohonan bantuan kewangan bagi membaiki dan menaik taraf kemudahan tokong yang terjejas,” katanya.
Justeru, beliau berharap pengurusan rumah ibadat di seluruh Sarawak mengambil peluang memanfaatkan kedua-dua sumber bantuan berkenaan bagi memastikan kemudahan ibadat terus berada dalam keadaan selamat dan selesa.
Permohonan bantuan UNIFOR boleh dikemukakan melalui portal rasmi Jabatan Premier Sarawak, manakala bantuan Kerajaan Persekutuan boleh dipohon menerusi sistem eRIBI.







