JULAU: Pendidikan prasekolah perlu diberi perhatian serius kerana menjadi asas penting dalam perkembangan diri kanak-kanak serta persediaan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, peringkat prasekolah memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka perkara baharu, sekali gus memerlukan bimbingan berterusan daripada guru dan ibu bapa bagi memastikan perkembangan mereka berjalan dengan baik.
Menurutnya, guru bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu di sekolah, malah turut memikul tanggungjawab membimbing kanak-kanak seperti ibu bapa dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif.
“Setiap pelajar perlu menerima sokongan serta pendidikan yang sewajarnya supaya mereka dapat belajar dengan baik dan selesa,” katanya ketika berucap pada Makan Malam Kelab Julau Spark (Prasekolah).
Beliau berkata, pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas kepada perjalanan pendidikan mereka, bermula dari prasekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi, termasuk universiti.
Larry turut menekankan kepentingan perkongsian ilmu dan kerjasama dalam kalangan tenaga pengajar bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik, selain membantu guru menangani keperluan serta tahap perkembangan pelajar yang berbeza.
Dalam pada itu, beliau berharap Majlis Makan Malam Kelab Julau Spark (Prasekolah) dapat dianjurkan setiap tahun sebagai platform untuk mengeratkan hubungan, memperkukuh kerjasama dan menghargai sumbangan guru prasekolah.
Katanya, komitmen berterusan semua pihak dalam menyokong pendidikan awal kanak-kanak amat penting bagi melahirkan generasi yang berilmu, yakin diri dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan pada masa hadapan.
Pada majlis itu, beliau turut memperuntukkan RM15,000 bagi menyokong pelaksanaan kerja-kerja berkaitan pembangunan sekolah.




