KUCHING: Sarawak perlu menyediakan peluang kerjaya, kemudahan penyelidikan dan pakej imbuhan yang kompetitif bagi menarik kembali saintis, penyelidik serta tenaga profesional tempatan yang kini berkhidmat di luar negara.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berpandangan, pendekatan itu penting bagi mengurangkan penghijrahan bakat, mengekalkan kepakaran tempatan serta memastikan Sarawak mempunyai tenaga profesional berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan masa depan.

Perkara itu antara yang ditekankan Tun Dr Wan Junaidi ketika menerima kunjungan hormat penerima Hadiah Nobel Fizik 2023, Profesor Pierre Agostini bersama delegasi Institut Fizik Malaysia (MIP) di Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pertemuan yang turut disertai isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Tun Dr Wan Junaidi menegaskan kecemerlangan saintis, jurutera, doktor dan penyelidik perlu diberikan pengiktirafan serta ganjaran setimpal dengan kepakaran masing-masing.
“Laluan kerjaya profesional perlu diperkukuh supaya golongan berkenaan berpeluang mencapai kedudukan tertinggi dalam bidang kepakaran tanpa perlu beralih kepada jawatan pentadbiran semata-mata untuk memperoleh kenaikan pangkat atau pendapatan lebih baik.
“Pendekatan itu penting bagi memastikan kecemerlangan teknikal, penyelidikan dan inovasi mendapat pengiktirafan setara dengan bidang pengurusan, sekali gus menggalakkan tenaga pakar terus menyumbang kepada pembangunan sains dan teknologi negeri,” katanya dalam hantaran di Facebook selepas kunjungan hormat berkenaan, semalam.
Tun Dr Wan Junaidi turut menekankan keperluan meningkatkan kemudahan makmal, peralatan saintifik dan infrastruktur penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar institusi tempatan mampu menjalankan penyelidikan bertaraf antarabangsa.
Beliau juga menggalakkan pelibatan lebih aktif sektor korporat dan industri dalam pembiayaan penyelidikan, penajaan bakat serta kerjasama strategik dengan universiti bagi membangunkan ekosistem inovasi yang lebih kukuh.
Dalam aspek pendidikan, Tun Dr Wan Junaidi berpandangan pembangunan modal insan perlu bermula dengan pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain penerapan budaya penyelidikan, pemikiran kritis dan kreativiti dalam kalangan generasi muda.
“Kemajuan Sarawak tidak seharusnya diukur berdasarkan kekuatan ekonomi semata-mata, tetapi juga keupayaan rakyat menguasai ilmu pengetahuan, menghasilkan penemuan saintifik dan membangunkan teknologi sendiri,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama lebih erat antara institusi pengajian tinggi Sarawak dengan universiti serta pusat penyelidikan antarabangsa, khususnya dalam teknologi kuantum, kecerdasan buatan (AI) dan industri berteknologi tinggi.
“Kerjasama melalui pemindahan ilmu, perkongsian kepakaran dan penyelidikan bersama itu berpotensi memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pusat kecemerlangan sains dan inovasi, selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi baharu berteraskan teknologi tinggi serta tenaga boleh baharu,” katanya.
Tun Dr Wan Junaidi turut berharap kejayaan Profesor Agostini menjadi inspirasi kepada pelajar, pensyarah dan penyelidik muda Sarawak untuk meneroka bidang ilmu baharu serta menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Profesor Agostini merupakan antara tiga saintis yang menerima Hadiah Nobel Fizik 2023 atas sumbangan membangunkan kaedah eksperimen menghasilkan denyutan cahaya berskala attosaat, yang membolehkan saintis mengkaji pergerakan elektron dalam atom dan molekul pada skala masa yang amat singkat.
Penemuan tersebut membuka ruang baharu dalam bidang fizik moden, khususnya bagi memahami proses dan perubahan elektron yang berlaku terlalu pantas untuk diperhatikan menggunakan kaedah konvensional.
Kunjungan itu turut disertai Presiden Institut Fizik Malaysia, Profesor Tou Teck Yong; Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Adana Jed; Timbalan Setiausaha Tetap, Caroline Cleophas Joseph serta Ketua Bahagian, Dr Cheong Yaw Liang.






