KUCHING: Seorang remaja lelaki diperintahkan ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kekasihnya berusia 15 tahun, April lalu.
Majistret Ling Hui Chuan memerintahkan demikian selepas pendengaran laporan akhlak remaja berusia 16 tahun terbabit.
Terdahulu, dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah perhentian bas di Jalan FAC Matang, sekitar 8 malam, 18 April lepas.
Menurut fakta kes, hasil siasatan mendapati bahawa tertuduh dan pengadu berkenalan pada awal Mac lalu.
Perkenalan tersebut berlanjutan sehingga mereka menjalinkan hubungan percintaan.
Sepanjang hubungan tersebut, tertuduh sering membawa pengadu bersiar-siar di kawasan kampung dan melepak bersama-sama tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Pada hari kejadian, tertuduh menjemput pengadu ke rumahnya di Jalan Matang menggunakan sebuah motosikal.
Setiba di tempat kejadian, tertuduh bertindak kasar mencium mulut, meramas payudara dan memaksa melakukan hubungan seks dengan pengadu.
Pengadu yang ketika itu berusia 15 tahun lapan bulan cuba melawan tertuduh tetapi tidak berjaya.
Setelah kejadian itu, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 19 Mei lepas.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





