MUKAH: Dua lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 2.13 gram bernilai RM250 dalam serbuan di sebuah bilik rumah pekerja di Jalan Tiong Hua, di sini, semalam.
Kedua-dua lelaki berusia 22 dan 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menerusi Op Tapis Khas kira-kira 12.20 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat yang diterima pihak polis.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan lima keratan tiub straw lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Dadah berkenaan disimpan di dalam sebuah kotak rokok sebelum dirampas untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku bahawa dadah yang dirampas itu adalah milik mereka.
Ujarnya, mereka dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak Mac 2026,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.
Selain itu, satu kertas siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kedua-dua suspek disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh direman selama tiga hari hingga 6 November ini bagi membantu melengkapkan siasatan.
Tambah Rizal, IPD Mukah akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan.





