KUCHING: Kupi Kupi FM Allstars mencatat kemenangan tipis 8-7 ke atas Finas Borneo dalam aksi persahabatan yang menghimpunkan artis tempatan, bekas pemain bola sepak Sarawak dan penggiat industri penyiaran di Cascara Arena, Sabtu lalu.
Pengurus Stesen Kupi Kupi FM, Mohd Azrar Pauwi berkata, perlawanan yang berlangsung pada 4 petang itu menjadi platform mengeratkan hubungan antara warga berlainan latar belakang.

“Perlawanan ini cukup menarik kerana melibatkan stesen radio dan industri perfileman, selain menghimpunkan artis tempatan serta bekas pemain bola sepak Sarawak.
“Penganjuran seperti ini memberi peluang kepada semua pihak untuk berinteraksi melalui sukan, sekali gus mengeratkan hubungan dalam suasana yang lebih santai,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Sementara itu, Mohd Azrar berkata, pihaknya merancang memperluas penganjuran aktiviti Gelanggang Kupi dengan memperkenalkan acara sukan lain serta melibatkan lebih ramai rakan media pada masa akan datang.
Menurutnya, penganjuran aktiviti seumpama itu membuka ruang untuk memperkukuh hubungan antara penggiat media dan industri hiburan, selain menggalakkan pelibatan dalam aktiviti sukan.
Dalam perlawanan berkenaan, artis tempatan, Jalee Lagoon muncul antara penyumbang utama kemenangan Kupi Kupi FM Allstars apabila meledak tiga gol untuk melengkapkan jaringan hatrik.
Bekas pemain Sarawak, Joseph Kalang Tie turut mempamerkan sentuhan berbisa apabila menjaringkan dua gol, manakala seorang lagi bekas pemain, Ramos Sari menyumbang satu jaringan.
Pendengar Kupi Kupi FM, Hazim Fawwaz turut mencuri tumpuan apabila menghasilkan dua gol untuk melengkapkan lapan jaringan pasukannya.
Finas Borneo pula memberikan tentangan sengit dengan menghasilkan tujuh jaringan, namun terpaksa akur kepada kelebihan satu gol yang memihak kepada Kupi Kupi FM Allstars.
Sebagai tanda penghargaan komitmen dan semangat kesukanan yang ditunjukkan, kedua-dua pasukan turut menerima pingat penyertaan selepas tamat perlawanan.







