SEMALAM saya asyik terfikir, jika suatu hari nanti saya tidak bekerja, bagaimana saya mahu menghabiskan masa 24 jam sehari? Saya sudah terlalu biasa dengan rutin harian sekarang.
Setiap pagi, perkara pertama yang saya lakukan ialah menyediakan makanan untuk keluarga.
Ada-ada sahaja yang perlu disiapkan di dapur.
Kadangkala selepas selesai memasak, saya mengemas dan rehat, menyusun barang dan melakukan apa-apa yang patut.
Selepas makan, ada sedikit masa untuk diri sendiri dan bersiap ke pejabat. Rutin kerja saya pula bermula sekitar jam 2.30 petang dan biasanya berakhir selepas jam 9.00 malam.
Begitulah kehidupan saya hampir setiap hari.
Apabila keluar dari pejabat, malam sudah pun menyelubungi bandar.
Sepanjang perjalanan pulang, lampu-lampu jalan dan suasana malam bandar raya Kuching seolah-olah sudah menjadi teman biasa.
Ada malam, jalan raya lengang, ada kalanya masih sibuk dengan kenderaan yang bersimpang-siur.
Saya memandu pulang dengan pelbagai perkara bermain di fikiran.
Ada kerja yang sudah selesai, ada juga tugasan yang menunggu untuk disambung keesokan harinya.
Kadangkala saya terfikir, sudah berapa banyak malam yang saya lalui dengan pemandangan yang sama?
Dari pejabat, melalui jalan-jalan di Kuching, sebelum akhirnya sampai ke rumah.
Tanpa disedari, semua itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya.
Sebab itu, semalam, apabila saya mula membayangkan kehidupan tanpa bekerja, timbul pula satu persoalan yang agak menggelikan hati.
Apa yang mahu saya lakukan sepanjang hari?
Tiga jam mungkin boleh digunakan untuk menguruskan kerja rumah dan memasak.
Dua jam lagi untuk diri sendiri.
Itu pun termasuk mandi, bersiap, minum kopi dan menonton televisyen.
Selepas itu, bagaimana pula?
Waktu ini masa masih berharga kerana saya banyak tugasan yang perlu disiapkan.
Tetapi apabila masanya tiba, adakah semua itu cukup untuk mengisi baki masa? Pelik juga memikirkan perkara ini.
Ketika bekerja, kita selalu merasakan masa tidak pernah cukup.
Pagi terasa terlalu singkat.
Banyak perkara perlu diselesaikan dan kadangkala kita terpaksa menangguhkan urusan sendiri kerana tuntutan kerja.
Ada masanya kita mengeluh.
Penat, tertekan dan mahu cepat pulang.
Kita menunggu hujung minggu, cuti umum atau cuti panjang untuk mendapatkan sedikit ruang bernafas.
Tetapi apabila cuti tiba, selepas dua atau tiga hari, kita mula mencari sesuatu untuk dilakukan.
Ada yang membuka telefon untuk memeriksa mesej kerja.
Ada yang mula bertanya kepada rakan sekerja tentang perkembangan di pejabat.
Ada pula yang tiba-tiba mendapat idea untuk membuat sesuatu yang sebenarnya boleh ditangguhkan.
Jawapannya, kita sendiri pun tidak begitu pandai duduk diam.
Saya fikir ini kerana kita sudah terlalu biasa dengan kehidupan yang mempunyai jadual.
Bangun pagi, menguruskan keluarga, pergi bekerja, bertemu orang, menyelesaikan tugasan dan pulang ke rumah.
Hari demi hari berlalu dengan corak yang hampir sama.
Namun hakikatnya, saya sangat suka.
Bagi saya, bekerja bukan sekadar menunggu gaji pada hujung bulan.
Ada kepuasan tersendiri apabila sesuatu tugasan berjaya diselesaikan.
Dalam bidang kerja yang banyak melibatkan penulisan dan urusan editorial, sentiasa ada perkara baharu yang perlu difikirkan.
Ada bahan yang perlu dibaca, ada tulisan yang perlu disemak dan ada tarikh akhir yang perlu dikejar.
Kadangkala idea datang ketika kita sedang sibuk melakukan perkara lain.
Ada juga perkara yang kelihatan mudah tetapi mengambil masa untuk diselesaikan.
Begitulah dunia pekerjaan.
Tidak semua hari berjalan mengikut perancangan.
Namun, di sebalik semua itu, ada sesuatu yang membuatkan kita terus mahu datang bekerja.
Kita bertemu rakan sekerja, berbual, bertukar pandangan dan kadangkala ketawa dan bahagia tentang perkaraperkara kecil.
Ada juga hari yang menguji kesabaran. Itu semua menjadi sebahagian daripada cerita kehidupan di tempat kerja.
Saya teringat beberapa orang yang sudah bersara.
Ada yang benar-benar menikmati kehidupan baharu mereka.
Mereka mempunyai masa untuk berkebun, melancong, menjaga cucu, memasak dan melakukan perkara yang selama ini tidak sempat dibuat.
Tetapi ada juga yang selepas bersara mula mencari kesibukan.
Ada yang berniaga kecilkecilan, menyertai aktiviti masyarakat atau mengambil pekerjaan sambilan.
Apabila ditanya mengapa masih mahu bekerja sedangkan sudah bersara, jawapannya mudah.
Bosan duduk di rumah.
Begitu juga yang saya bayangkan.
Saya pasti bosan duduk di rumah kerana anak-anak yang hanya dua orang sudah besar.
Masa ini pastinya terfikir, kalaulah saya ada enam anak, pasti tidak sunyi.
Mungkin itulah yang jarang kita fikirkan ketika masih mempunyai pekerjaan.
Kita terlalu sibuk merancang bila mahu berhenti bekerja tetapi kurang memikirkan bagaimana kehidupan kita selepas itu.
Sebenarnya, tidak bekerja bukan bermakna kita tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan.
Cuma kita perlu mencari rutin baharu.
Jika dahulu kita mempunyai pejabat dan rakan sekerja, selepas itu mungkin kita perlu membina lingkungan kehidupan yang berbeza.
Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa suatu hari nanti saya akan menikmati kehidupan tanpa perlu mengejar masa.
Mungkin saya boleh memasak dengan lebih santai, mencuba resipi baharu, memperuntukkan lebih banyak masa untuk keluarga dan melakukan perkara yang selama ini tidak sempat dibuat.
Mungkin juga inilah masanya untuk lebih mendekatkan diri dengan Tuhan, memperbaiki amalan dan memberikan lebih banyak ruang kepada kehidupan rohani yang kadangkala terpinggir kerana kesibukan bekerja.
Tetapi saya mengenali diri sendiri.
Saya mungkin masih akan mencari sesuatu untuk dilakukan.
Mungkin masih mahu mengikuti perkembangan semasa, menulis sesuatu atau melakukan aktiviti yang membuatkan hari saya terasa bermakna.
Entahlah.
Itu semua masih dalam fikiran.
Yang pasti, kita tidak boleh selama-lamanya hidup dengan jadual yang sama. Akan tiba masanya kita perlu memperlahankan langkah.
Anak-anak semakin membesar, tanggungjawab berubah dan akhirnya kita juga perlu memberi ruang kepada diri sendiri untuk menikmati kehidupan di luar pekerjaan.
Cuma saya rasa, persediaan untuk meninggalkan alam pekerjaan bukan sekadar mengira wang simpanan atau memastikan kewangan mencukupi.
Kita juga perlu menyediakan diri dari segi masa dan aktiviti.
Kita perlu tahu apa-apa yang mahu dilakukan apabila tidak lagi terikat dengan jadual pejabat.
Kalau tidak, janganjangan selepas beberapa minggu berehat, kita pula yang mula mencari kerja.
Semalam, saya masih belum menemui jawapan kepada persoalan bagaimana mahu menghabiskan masa 24 jam sehari tanpa bekerja. Intinya, saya suka tekanan kerja.
Mungkin ada menganggap saya bodoh.
Namun, persoalan besarnya bagaimana saya mengisi masa dari jam 2.00 petang hingga 9.00 malam dengan hobi? Ia memang boleh berlaku dan akan berlaku.
Mungkin saya terlalu awal memikirkannya, tetapi tidak salah membuat sedikit persediaan.
Selama ini kita selalu menganggap bekerja itu memenatkan.
Ruparupanya, membayangkan kehidupan tanpa bekerja juga boleh membuatkan kita berfikir panjang.
Barangkali bukan kerja semata-mata yang kita akan rindui nanti, tetapi rutin, suasana, pertemuan dan rasa bahawa setiap hari ada sesuatu yang perlu kita lakukan.
Akhirnya, saya masih tertanya-tanya.
Jika esok tidak perlu lagi ke pejabat, selepas selesai memasak dan menguruskan rumah pada waktu pagi, ke mana pula saya hendak pergi?






