SETIAP kali menjelang pilihan raya, ada satu pertanyaan yang berlegar-legar dalam fikiran wakil rakyat: “Adakah nama saya masih dalam senarai?”
Bagi rakyat dan pengundi di kawasan pula, adakah penyandang dikekalkan?
Bagi wakil rakyat yang memuaskan hati mereka dan berprestasi baik, mereka mengharapkan penyandang berkenaan dikekalkan sebagai calon.
Tetapi, sebaliknya pula bagi wakil rakyat yang buruk prestasinya atau dianggap tidak mesra rakyat.
Ada yang menunggu dengan tenang dan tidak kurang pula yang resah gelisah menjelang hari penamaan calon.
Tidak kurang juga yang membaca setiap gerak-geri ketua parti, berharap dapat meneka keputusan sebelum pengumuman dibuat.
Bukan tidak ada sebelum ini, ada nama yang tidak dimasukkan dalam senarai pada saat-saat akhir, malah ada nama yang masuk dalam sehari, sejam sebelum pengumuman dibuat, namanya sudah tidak ada lagi, dan telah digantikan dengan nama lain.
Moral ceritanya, jangan begitu yakin selagi belum menerima watikah daripada Presidan GPS atau ketua parti masing-masing.
Demikianlah politik.
Hari ini seseorang diraikan sebagai calon; pada pilihan raya berikutnya, beliau mungkin diminta memberi laluan.
Bagi penyandang yang telah lama berkhidmat, keputusan itu tentu bukan mudah diterima.
Namun, penggantian calon ialah sebahagian daripada perjalanan politik yang mesti dihadapi.
Pada Pilihan Raya Umum Sarawak ke-12 pada 2021, GPS mengemukakan 24 muka baharu daripada 82 calon, atau kira-kira 29 peratus.
Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan bahawa beberapa calon baharu berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an diketengahkan untuk dilatih serta didedahkan kepada politik Sarawak yang memperjuangkan semua kaum, agama dan budaya.
Angka itu memperlihatkan bahawa pembaharuan calon memerlukan perancangan.
Dalam politik, seperti dalam organisasi lain, pelapis perlu disediakan sebelum berlaku kekosongan.
Jika semua pemimpin mahu terus bertanding tanpa membuka ruang, bilakah generasi seterusnya akan mendapat peluang?
Maksudnya, penyandang harus sedar diri dan tidak menyusahkan parti.
Mereka perlu tahu bila hendak berundur.
Tetapi masalahnya, ada yang masih mahu bertanding walaupun parti sudah tidak mahu mengekalkannya atau peluangnya untuk menang adalah tipis.
Banyak bukti dan rekod untuk kes seperti ini.
Sarawak memerlukan pemimpin yang dapat memahami aspirasi anak muda, perubahan teknologi dan cabaran ekonomi baharu.
Suara wanita, golongan profesional dan masyarakat setempat juga perlu mendapat tempat yang sewajarnya dalam proses membuat keputusan.
Tetapi, jangan pula kita terperangkap dengan anggapan bahawa baharu itu sentiasa lebih baik, sementara lama semestinya sudah tidak relevan.
Ada wakil rakyat berpengalaman yang masih bertenaga, dekat dengan pengundi dan berupaya menyelesaikan masalah.
Ada juga muka baharu yang hebat pada poster, tetapi belum tentu sanggup meredah jalan berlumpur untuk menemui rakyat.
Tua tidak semestinya tidak bagus, dan yang muda tidak semestinya bagus, dan begitulah sebaliknya.
Yang diperlukan ialah gabungan pengalaman dengan tenaga baharu.
Politik memerlukan gandingan kebijaksanaan orang lama dan keberanian generasi baharu.
Pengalaman memberi ingatan tentang apa-apa yang pernah dicuba; idea baharu pula membantu kita melihat kemungkinan yang belum diteroka.
Jadi, atas dasar apakah seseorang penyandang wajar diganti?
Wakil rakyat dipilih untuk bekerja, bukan sekadar menyandang gelaran.
Adakah beliau kerap turun ke kawasan, mudah didekati dan berusaha menyelesaikan masalah?
Bagaimanakah pula sumbangannya dalam Dewan Undangan Negeri?
Jadi, prestasi yang memuaskan penting, termasuk kerap turun padang dan melaksanakan projek pembangunan serta menunaikan janji.
Tidak semua masalah dapat diselesaikan dalam satu penggal.
Ada yang memerlukan peruntukan besar dan kerjasama pelbagai
agensi. Namun, rakyat dapat menilai sama ada wakil mereka benar-benar berusaha atau sekadar muncul ketika musim pilihan raya.
Pemimpin yang terpalit dengan salah laku atau menyalahgunakan kepercayaan boleh menjejaskan keyakinan terhadap parti dan institusi yang diwakilinya.
Pemimpin yang memiliki integriti penting.
Kesihatan, tenaga dan keadaan peribadi wajar dipertimbangkan dengan penuh ihsan.
Sarawak luas; ada kawasan yang perjalanan ke rumah panjang atau kampungnya memerlukan masa berjam-jam.
Tugas wakil rakyat menuntut kehadiran dan ketahanan.
Usia sahaja bukan alasan yang memadai.
Ada yang berusia 70 tahun masih cergas, manakala yang jauh lebih muda mungkin kurang komited dan sudah sakit.
Ukurannya ialah kemampuan melaksanakan amanah.
Jadi, wajar mereka ini mendapat pengesahan doktor dari segi kesihatan terlebih dahulu sebelum ditampikan sebagai calon.
Penyandang mungkin popular dalam parti, tetapi semakin jauh daripada pengundi.
Teguran masyarakat, pandangan jentera akar umbi dan penilaian yang teliti perlu diambil kira.
Namun, parti juga harus berhati-hati: perbezaan pendapat atau kempen memburukkan seseorang tidak boleh terus dijadikan alasan untuk menyingkirkannya.
Penggantian juga boleh berlaku kerana parti perlu membina kepemimpinan masa depan.
Seorang penyandang yang baik mungkin diminta memberi laluan walaupun tiada kecacatan besar pada rekodnya.
Keputusan seperti ini perlu dijelaskan dengan jujur dan disampaikan dengan hormat, supaya perkhidmatan beliau tidak seolah-olah dinafikan.
Ukurannya mudah, kalau tahu diri sudah sakit, sudah berjanji hendak berundur dalam pilihan raya lalu, sudah terlalu tua, tidak disenangi rakyat atau parti, dan tidak ada lagi peluang untuk naik dalam parti atau jawatan kerajaan, mereka ini perlu tahu pilihan terbaik yang perlu dibuat.
Tidak perlulah orang lain hendak pujuk supaya berundur.
Rakyat tahu siapa yang perlu berehat dan direhatkan.
Saya pasti, pemilik batang tubuh berkenaan tahu siapa yang perlu memberi laluan dalam PRU Sarawak ke-13.
Setidak-tidaknya ada sepuluh nama yang disenaraikan yang perlu digantikan, dan kini tular.
Di sinilah kematangan penyandang diuji.
Kecewa itu manusiawi.
Seseorang yang telah mengorbankan masa bersama keluarga, menempuh pelbagai kesukaran dan membina hubungan dengan rakyat tentu berasa berat untuk melepaskan tugas.
Namun, setelah keputusan dibuat, beliau perlu menimbang tindakan seterusnya dengan tenang.
Meluahkan pandangan melalui saluran yang sesuai ialah haknya.
Tetapi menabur fitnah, mensabotaj calon pengganti atau memecahbelahkan penyokong a akhirnya boleh merosakkan perjuangan yang dibinanya sendiri.
Presiden Amerika Syarikat, Harry S. Truman, memberikan contoh sikap yang wajar direnungkan.
Selepas Dwight D. Eisenhower dipilih sebagai penggantinya pada 1952, Truman menyatakan kesediaannya untuk melakukan segala yang termampu bagi memudahkan peralihan pentadbiran secara teratur.
Situasinya tentu berbeza daripada penggantian calon parti, tetapi prinsipnya tetap relevan kepentingan pentadbiran dan rakyat harus terus diutamakan ketika berlaku perubahan kepemimpinan.
Penyandang yang berundur masih mempunyai peranan besar.
Beliau boleh memperkenalkan pengganti kepada masyarakat, berkongsi pengetahuan tentang kawasan dan membantu calon baharu memahami masalah yang belum selesai.
Serahkan juga rekod permohonan, projek dan aduan supaya rakyat tidak terpaksa mengulangi kisah yang sama dari awal.
Calon pengganti pula jangan datang dengan sikap seolah-olah sejarah kawasan bermula pada hari namanya diumumkan.
Hormatilah jasa pendahulu.
Dengarlah pengalaman beliau dan hargailah hubungan yang telah dibina dengan masyarakat.
Akhirnya, rakyatlah yang menilai calon di peti undi.
Parti boleh memilih siapa yang ditampilkan, tetapi mandat tetap milik pengundi.
Dalam politik, masa untuk melangkah ke hadapan memerlukan keberanian.
Masa untuk berundur dengan terhormat juga menuntut kebesaran jiwa.
Pemimpin yang memahami kedua-duanya akan dikenang bukan hanya kerana jawatan yang pernah disandang, tetapi juga kerana cara beliau menyerahkan amanah kepada generasi seterusnya.
Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik yang telah mengamat politik Sarawak lebih daripada 40 tahun.






