KUCHING: Dasar pendidikan percuma Sarawak menjadi antara faktor yang menarik minat pelabur dari Jepun untuk meneroka potensi pembangunan teknologi dan industri berasaskan data di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pelabur berkenaan yang melihat Sarawak mempunyai potensi menjadi antara peneraju ekonomi baharu di rantau ini.
Menurut beliau, pelabur itu turut melihat kesesuaian Sarawak sebagai lokasi bagi pemasangan satelit serta pembangunan teknologi kecerdasan buatan yang mampu menyumbang kepada penyelesaian ekonomi global.
“Saya bertanya kepadanya bagaimana beliau mengetahui tentang Sarawak dan beliau menjelaskan bahawa pihaknya telah membincangkan kesesuaian Sarawak sebagai lokasi untuk pemasangan satelit, selain membangunkan keupayaan teknologi dan kecerdasan data bagi mencari penyelesaian kepada ekonomi dunia.
“Terdapat banyak lokasi lain yang boleh dipilih, tetapi beliau memilih Sarawak.
Mengapa?
Kerana dasar pendidikan percuma kita.
Menurut beliau, negara lain tidak menyediakan pendidikan percuma seperti yang dilaksanakan di Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) Ke-35 di Kuching, malam tadi.
Abang Johari berkata, ekonomi masa depan banyak bergantung kepada keupayaan modal insan, justeru Sarawak perlu memastikan rakyat tempatan dilengkapi kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri baharu.
Katanya, pembangunan teknologi seperti satelit, pengkomputeran awan (cloud computing) dan kecerdasan buatan (AI) memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta penguasaan teknologi tempatan.
“Ekonomi baharu akan bergantung kepada rakyat.
Kita percaya Sarawak mempunyai modal insan yang boleh dilatih untuk memenuhi keperluan ekonomi baharu,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan cadangan pelaburan berkaitan teknologi berkenaan masih belum dimuktamadkan, meskipun terdapat minat daripada pihak antarabangsa terhadap potensi Sarawak. — TVS






