UNTUK sekadar berjoging, ada yang kini terpaksa melupakan taman rekreasi dan berlari di dalam pusat beli-belah.
Itulah yang berlaku kepada sebahagian pelari di Singapura dan Malaysia ketika jerebu melanda Asia Tenggara pada kali ini.
Fenomena ini mungkin kelihatan unik, tetapi hakikatnya ia menjadikan persoalan tentang kualiti alam sekitar dan hak kita untuk menghirup udara bersih.
Di Singapura, lebih 80 pelari dilaporkan menjadikan Marina Square trek larian semantara. Manakala di Malaysia pula, kumpulan kecergasan berlatih ke Atria Shopping Gallery, Petaling Jaya, untuk meneruskan latihan apabila udara di luar tidak mengizinkan.
Situasi ini mengingatkan saya semula ketika pandemik COVID-19. Semasa sekatan pergerakan dilaksanakan, keinginan untuk keluarga saya terus aktif tidak padam. Suami saya kemudian membeli sebuah treadmill dalam talian supaya kami dapat berlari di rumah.
Bezanya, ketika itu ancaman datang daripada virus dan kini ia datang dalam bentuk udara yang dicemari asap dan zarah halus. Ironinya, kesedaran terhadap gaya hidup sihat semakin meningkat, tetapi pencemaran udara pula menjadi penghalang.
Sesungguhnya aktiviti fizikal penting untuk mengekalkan kecergasan, mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit dan meningkatkan kesejahteraan mental.
Namun, bersenam di kawasan yang tercemar, khususnya secara berintensiti tinggi, boleh meningkatkan pendedahan kepada bahan pencemar.
Zarah halus seperti PM2.5 amat membimbangkan kerana saiznya yang kecil membolehkannya menembusi jauh ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah.
Kesan pencemaran udara juga tidak dirasai secara sama rata oleh semua golongan. Kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit pernafasan dan kardiovaskular lebih terdedah kepada kesan buruk pencemaran.
Bagi kanak-kanak khususnya, pendedahan berulang kepada udara tercemar boleh menjejaskan kesihatan sistem pernafasan yang masih berkembang. Keadaan ini menjadikan jerebu isu kesihatan awam yang memerlukan perhatian berterusan, bukannya sekadar masalah bermusim.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pendedahan kepada pencemaran udara dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan, termasuk penyakit pernafasan dan kardiovaskular.
Justeru, berpindah ke ruang tertutup ketika jerebu ialah antara langkah berjaga-jaga yang munasabah. Namun, pusat beli-belah bukanlah penyelesaian menyeluruh. Kualiti udara di dalamnya bergantung pada sistem pengudaraan serta penapisan dan ruang tertutup tidak semestinya bebas daripada bahan pencemar.
Di Malaysia, orang ramai boleh merujuk bacaan IPU melalui sistem pengurusan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar sebelum membuat keputusan untuk melakukan aktiviti luar. Bacaan tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi panduan penting untuk menentukan tahap pendedahan yang boleh diterima.
Bagi mereka yang gemar berlari atau berbasikal, menukar jadual senaman, mengurangkan intensiti latihan atau berehat sementara merupakan pilihan lebih selamat apabila kualiti udara merosot.
Lebih penting, fenomena ini harus dilihat dalam konteks jerebu rentas sempadan yang seikan lama menghantui Asia Tenggara. Kebakaran hutan dan tanah gambut, terutamanya ketika musim kering, menghasilkan asap yang merentasi sempadan negara mengikut arah angin.
Jadi setiap kali jerebu kembali, orang ramai bukan sahaja menanggung risiko kesihatan, malah terpaksa mengurangkan pergerakan dan mengubah rutin harian. Impak jerebu juga melangkaui sektor kesihatan. Aktiviti pelancongan, perniagaan luar dan sektor perkhidmatan boleh terjejas apabila orang ramai mengehadkan pergerakan.
Peniaga kecil yang bergantung pada kehadiran pelanggan di kawasan terbuka turut berdepan risiko kehilangan pendapatan. Dalam keadaan ini, kos sebenar jerebu bukan sahaja diukur melalui perbelanjaan rawatan kesihatan, tetapi juga kehilangan produktiviti dan peluang ekonomi. Untuk pengetahuan, ASEAN sebenarnya telah mempunyai Perjanjian Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan sejak 2002. Perjanjian ini bertujuan mencegah dan memantau jerebu akibat kebakaran tanah dan hutan melalui kerjasama negara anggota. Namun hakikatnya, cabaran melaksanakannya secara berkesan masih berterusan.
Sampai bilakah masyarakat perlu menyesuaikan hidup dengan udara yang tercemar? Adakah kita hanya akan bertindak apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah tahap tidak sihat, kemudian melupakan isu ini sebaik sahaja keadaan reda?
Saya berpendapat, menangani jerebu tidak boleh terhenti pada nasihat kesihatan dan arahan mengurangkan aktiviti luar. Pencegahan perlu diutamakan melalui pemantauan kawasan berisiko kebakaran, penguatkuasaan undang-undang terhadap pembakaran terbuka dan kerjasama serantau yang lebih tegas.
Perancangan bandar pula perlu menyediakan lebih banyak kawasan hijau dan kemudahan rekreasi yang selamat, manakala masyarakat berhak mendapat maklumat kualiti udara yang tepat untuk membuat keputusan harian.
Akhir sekali, udara bersih bukan sekadar satu kemewahan, tetapi hak asas yang perlu dilindungi. Dalam usaha membina masyarakat yang lebih sihat, kita bukan sahaja perlu menggalakkan orang ramai berlari, malah memastikan mereka mempunyai udara yang selamat untuk bernafas.





