ARTIKEL

Lelaki mengamuk rosakkan lima mesin ATM, tetak tangan pemuda dengan parang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Seorang lelaki merosakkan lima mesin ATM di Jalan Masjid Lama, di sini, awal pagi tadi kerana gagal mengeluarkan wang, sebelum mencederakan seorang pemuda yang cuba menghalangnya dengan parang.

Suspek berusia 38 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Sarikei selepas kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengamuk lalu merosakkan dua mesin ATM, dua mesin deposit tunai (CDM) dan sebuah mesin deposit cek dengan sebilah parang.

“Tindakan itu dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek apabila gagal melakukan pengeluaran wang, selain mengakui berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

“Selepas merosakkan mesin berkenaan, suspek melarikan diri dengan sebuah Toyota Hilux sebelum memandu melawan arus dan merempuh pembahagi jalan di Jalan Masjid Lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian berhampiran, seorang lelaki berusia 21 tahun yang cuba menghalang suspek mengalami kecederaan serius pada tangan kiri selepas dipercayai ditetak dengan parang.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan, manakala polis merampas kenderaan pikap dan senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis ketamin dan benzodiazepine (Benzo), namun semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah terdahulu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri ketika berdepan situasi berbahaya dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan