BERLIN: Yamaha tidak akan membenarkan pelumbanya menyertai perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Qatar hujung minggu depan susulan konflik di Asia Barat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Susulan penilaian terkini terhadap situasi di Asia Barat, Yamaha mendapati tiada alasan yang mencukupi untuk mengubah sekatan perjalanan sedia ada yang dilaksanakan di seluruh syarikat,” menurut kenyataan pengeluar motosikal Jepun itu pada Ahad.
“Sehubungan itu, Yamaha telah memaklumkan kepada MotoGP Group mengenai keputusannya untuk tidak menyertai Grand Prix Qatar 2026.
Keputusan ini mencerminkan penilaian Yamaha berdasarkan maklumat yang tersedia ketika ini dan dibuat tanpa bergantung pada langkah yang dilaksanakan oleh MotoGP Group serta penganjur acara.”
Yamaha memaklumkan bahawa pihaknya kekal komited sepenuhnya terhadap MotoGP dan berharap dapat kembali menyertai perlumbaan di Portugal pada 22 Nov.
MotoGP menyatakan rasa kecewa terhadap keputusan Yamaha.
“Walaupun kami mengakui bahawa pasukan itu tertakluk kepada dasar korporat yang lebih luas yang mengehadkan perjalanan ke Asia Barat, kami tidak percaya keputusan ini mencerminkan jaminan menyeluruh yang diberikan kepada semua pihak berkepentingan dalam kejohanan ini,” menurut kenyataan itu.
“Susulan rundingan dengan kerajaan Qatar, Litar Antarabangsa Lusail, penasihat keselamatan bebas serta proses penilaian risiko berterusan MotoGP sendiri, MotoGP tidak menerima sebarang maklumat yang mewajarkan perubahan terhadap perancangan semasa bagi acara itu.”
MotoGP turut memaklumkan bahawa Yamaha mungkin berdepan implikasi dari segi sukan.
“Selain implikasi terhadap kontrak perjanjian Yamaha dengan MotoGP …, keputusan Yamaha untuk tidak menyertai perlumbaan itu turut membawa implikasi dari segi pertandingan, dengan sebarang tindakan susulan akan dikendalikan oleh badan induk, Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), mengikut peraturan kejohanan,” menurut kenyataan itu.
Serangan Iran terhadap kapal-kapal Qatar serta negara itu sendiri masih berlaku sekali-sekala sejak perang yang diketuai Amerika Syarikat (AS) dan Israel bermula pada Februari.
Serangan kumpulan Houthi dari Yaman terhadap Arab Saudi turut meningkatkan ketegangan di rantau itu.
Perlumbaan MotoGP Qatar sebelum ini ditangguhkan dari April susulan konflik berkenaan.
Laporan media dari perlumbaan MotoGP Malaysia pada Ahad, yang dimenangi Marc Marquez, pelumba yang dijangka merangkul kejuaraan dunia, menyatakan bahawa pelumba daripada pelbagai pasukan tidak berpuas hati kerana perlu ke Qatar dan mahukan lebih banyak jaminan keselamatan.
Pelumba Sepanyol itu berpeluang mengesahkan kejuaraan dunia di Qatar. — Bernama





