ARTIKEL

Kepercayaan memakan diri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DUA hari lalu, polis Saratok mendedahkan seorang wanita warga emas dari Kabong terpedaya oleh seorang bomoh palsu dari Sibu.

Terpedaya itu bukan seribu dua, belasan ribu atau puluhan ribu ringgit, tetapi mencecah lebih setengah juta ringgit.

Mangsa yang diarahkan memindahkan wang berjumlah RM554,525 ke enam akaun individu berbeza dipercayai melakukan transaksi tersebut tanpa banyak keraguan.

Dan percaya atau tidak, suspek yang mendakwa dirinya bomoh itu hanya memberikan khidmat perubatan secara jarak jauh.

Saya terfikir panjang apabila membaca laporan berkenaan.

Bagaimana seorang wanita warga emas sanggup menyerahkan wang sebanyak itu kepada seseorang yang belum tentu dikenalinya secara dekat, apatah lagi tanpa mengetahui kesahihan latar belakang dan kemampuan individu berkenaan?

Tiadakah langsung rasa was-was? Jika seseorang membayar kepada hospital kerajaan atau swasta untuk mendapatkan rawatan anaknya dengan jumlah sedemikian, saya fikir ia mungkin lebih mudah difahami.

Tetapi menyerahkan wang dalam jumlah yang begitu besar kepada seseorang yang menawarkan khidmat perubatan secara jarak jauh, apatah lagi identitinya diragui, sememangnya menimbulkan banyak persoalan.

Saya tidak menyalahkan mangsa semata-mata. Kita tidak mengetahui sepenuhnya keadaan, mungkin tekanan emosi atau harapan yang mendorongnya mempercayai individu berkenaan.

Namun, kes ini seharusnya membuka mata masyarakat, penipuan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira usia, latar belakang pendidikan mahupun kedudukan ekonomi.

Memang ramai orang mempunyai simpanan wang yang banyak, hasil titik peluh bekerja selama puluhan tahun. Namun, wang sebanyak itu bukan sesuatu yang boleh diserahkan sewenang-wenangnya kepada orang lain.

Lebih membimbangkan, penipuan seumpama ini bukan sekadar melibatkan kerugian wang ringgit, tetapi turut mempermainkan kepercayaan, harapan dan emosi seseorang.

Individu yang menyamar sebagai bomoh, pengamal perubatan tradisional atau mendakwa mempunyai kebolehan tertentu mungkin menggunakan pelbagai helah untuk meyakinkan mangsa.

Ada yang mendakwa mampu menyembuhkan penyakit, membuang gangguan, memulihkan hubungan keluarga atau menyelesaikan masalah kehidupan melalui kaedah tertentu.

Janji-janji manis

Mereka mungkin menggunakan kata-kata yang meyakinkan, cerita yang sukar disahkan atau janji-janji manis sehingga mangsa merasakan hanya individu berkenaan mampu membantu menyelesaikan masalah mereka.

Dalam keadaan terdesak, seseorang mudah hilang pertimbangan. Apabila melibatkan kesihatan anak, pasangan atau ahli keluarga tersayang, ada yang sanggup melakukan apa-apa sahaja kerana mahu melihat insan yang disayangi kembali pulih.

Di sinilah penipu mengambil kesempatan. Mereka bukan sahaja menyasarkan wang simpanan mangsa, malah mengeksploitasi rasa takut, kasih sayang dan kepercayaan yang ada dalam diri seseorang. Satu perkara yang perlu

kita fahami ialah penipu tidak semestinya menggunakan kekerasan atau ugutan untuk mendapatkan wang.

Ada kalanya mereka cukup bijak bermain dengan emosi sehingga mangsa sendiri rela melakukan transaksi yang diminta. Apabila seseorang sudah terlalu percaya, setiap permintaan wang mungkin dianggap sebagai sebahagian daripada proses rawatan.

Jika bayaran pertama tidak mencukupi, akan muncul pula alasan untuk meminta bayaran kedua, ketiga dan seterusnya.

Akhirnya, mangsa terus membayar kerana bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku sekiranya permintaan itu tidak dipenuhi. Lebih malang, apabila menyedari dirinya ditipu, wang yang sudah dipindahkan mungkin sukar diperoleh semula.

Berhati-hati

Justeru, masyarakat perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai dakwaan individu yang menawarkan perkhidmatan luar biasa tanpa bukti yang boleh disahkan.

Zaman sekarang, sesiapa sahaja boleh mengaku dirinya bomoh, pengamal perubatan tradisional atau mempunyai kelebihan tertentu.

Malah, kemudahan media sosial dan aplikasi komunikasi menjadikan urusan mencari pelanggan semakin mudah.

Tidak perlu pun bersemuka.

Cukup sekadar berhubung melalui telefon, WhatsApp atau panggilan video, kemudian meminta bayaran dimasukkan ke akaun bank tertentu.

Ada juga pihak yang menggunakan gambar, testimoni pelanggan dan cerita kejayaan yang belum tentu benar untuk membina keyakinan orang ramai.

Lebih mencurigakan apabila bayaran diminta berulang kali dengan pelbagai alasan, termasuk kononnya untuk membeli bahan rawatan, melakukan upacara tertentu atau menyelesaikan bayaran tambahan.

Apabila permintaan wang semakin meningkat, itu sepatutnya menjadi isyarat untuk seseorang berhenti dan berfikir. Jangan kerana terlalu berharap, kita akhirnya menjadi mangsa.

Jadi, apakah langkah yang boleh diambil supaya kejadian sama tidak berulang? Pertama, jangan membuat sebarang pembayaran dalam jumlah besar kepada individu yang menawarkan perkhidmatan perubatan tanpa menyemak latar belakang dan kesahihan perkhidmatannya terlebih dahulu.

Jangan terpengaruh dengan dakwaan seseorang itu mempunyai kuasa luar biasa atau mampu menyelesaikan semua masalah dalam tempoh singkat. Setiap dakwaan perlu dinilai secara rasional.

Kedua, dapatkan pandangan ahli keluarga atau individu yang dipercayai sebelum membuat keputusan melibatkan wang yang banyak.

Jangan biarkan urusan pembayaran dilakukan secara rahsia hanya kerana diminta oleh pihak yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Permintaan supaya sesuatu urusan dirahsiakan daripada anak-anak atau ahli keluarga terdekat sepatutnya menjadi tanda amaran. Penipu lazimnya mahu mangsa membuat keputusan sendiri tanpa campur tangan pihak lain.

Ketiga, jangan sesekali berkongsi maklumat perbankan, nombor pengenalan diri, kata laluan atau kod pengesahan transaksi dengan orang yang tidak dikenali.

Semak nama pemilik akaun dan gunakan kemudahan semakan akaun yang disediakan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi.

Jangan sesekali memindahkan wang ke beberapa akaun berlainan tanpa mengetahui sebab dan tujuan sebenar pembayaran tersebut.

Peranan keluarga

Keempat, sekiranya melibatkan masalah kesihatan, dapatkan pemeriksaan dan nasihat daripada pengamal perubatan yang berkelayakan.

Rawatan tradisional sekalipun perlu dinilai secara rasional dan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan rawatan perubatan yang diperlukan.

Pada masa sama, ahli keluarga perlu memainkan peranan lebih aktif, khususnya dalam memantau urusan kewangan ibu bapa atau warga emas. Bukan bermaksud menyekat kebebasan mereka, tetapi memastikan mereka tidak mudah menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

Anak-anak perlu lebih prihatin terhadap pergaulan dan urusan kewangan ibu bapa, terutama apabila mereka mula berhubung dengan individu yang tidak dikenali melalui media sosial atau telefon.

Jangan hanya bertanya khabar ketika pulang ke kampung, sebaliknya ambil tahu juga sekiranya ada individu yang menawarkan rawatan atau meminta sejumlah wang atas alasan tertentu.

Pihak berkuasa pula perlu terus mempergiat kempen kesedaran dan pendidikan pencegahan penipuan sehingga ke peringkat kampung.

Maklumat mengenai taktik penipuan terkini perlu disampaikan melalui ketua masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan penduduk dan platform media sosial.

Program kesedaran juga tidak seharusnya tertumpu kepada golongan muda yang celik teknologi sahaja. Warga emas dan suri rumah perlu diberikan perhatian kerana mereka juga terdedah kepada pelbagai bentuk penipuan.

Sebarkan amaran

Ketua masyarakat dan pemimpin akar umbi boleh membantu dengan menyebarkan amaran penipuan dalam kumpulan WhatsApp kampung serta mengingatkan penduduk supaya merujuk pihak berkuasa sekiranya menerima tawaran yang mencurigakan.

Jika menjadi mangsa, atau mengesyaki sedang diperdaya, jangan berlengah untuk menghubungi pihak bank dan membuat laporan polis.

Bagi transaksi yang baru dilakukan, mangsa juga boleh segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 untuk mendapatkan bantuan.

Tindakan pantas mungkin dapat membantu mengurangkan kerugian atau mengesan aliran wang yang telah dipindahkan.

Paling penting, masyarakat perlu membuang tanggapan bahawa penipuan hanya berlaku kepada orang yang kurang berpendidikan atau tidak celik teknologi. Hakikatnya, sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa apabila kepercayaan mengatasi pertimbangan.

Kes kehilangan RM554,525 ini bukan sekadar angka yang mengejutkan. la satu peringatan bahawa penipu sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperdaya orang lain.

Wang sebanyak itu mungkin hasil simpanan bertahun-tahun, hasil bekerja keras dan berjimat cermat. Apabila hilang dalam sekelip mata, bukan mudah untuk mendapatkannya semula. Lebih menyedihkan, mangsa mungkin terpaksa menanggung tekanan emosi dan penyesalan untuk tempoh yang panjang.

Hari ini mungkin orang lain. menjadi mangsa. Esok, siapa tahu? Jangan tunggu sehingga wang simpanan bertahun-tahun lesap, barulah kita sedar bahawa kepercayaan juga perlu ada batasnya.

Percayalah, membantu orang lain itu tidak salah. Tetapi mempercayai seseorang tanpa usul periksa boleh mengundang padah. Semoga tidak berulang.

BERITA LAIN

Hajat belum ternoktah

DUA kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan awal Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) pastinya bukan permulaan yang diharapkan Kuching City FC, namun perjalanan The

BERITA TERBARU

Papan pintar RM10,000 untuk komuniti Sikh Kuching

KUCHING: Komuniti Sikh di Gurdwara Sahib Kuching bakal menerima sumbangan papan pintar interaktif bernilai kira-kira RM10,000 daripada Kerajaan Sarawak bagi memperluas akses pembelajaran digital dalam