ARTIKEL

Lima bandar menerima Anugerah Global Bandar untuk Pembangunan Mampan.

Lima Bandar Terima Pengiktirafan Global bagi Pembangunan Mampan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

FUZHOU: Lima bandar dipilih menerima Anugerah Global Bandar untuk Pembangunan Mampan (Anugerah Shanghai) Edisi Keempat selepas berjaya menonjol dalam usaha memacu pembangunan yang lebih selesa.

Antara bandar berkenaan ialah Addis Ababa di Ethiopia, Santiago de Cali di Colombia, Istanbul di Türkiye, Jingdezhen di China dan Katowice di Poland.

Timbalan Pengarah Biro Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar Perbandaran Jingdezhen, Ye Kai berkata, Jingdezhen merupakan satu-satunya bandar di dunia yang mengekalkan tradisi pembuatan porselin secara tangan selama lebih 1,000 tahun tanpa terputus.

Katanya, peninggalan industri pembuatan porselin terdapat di seluruh bandar itu dan pihak berkuasa menganggap lorong lama, tapak relau serta bangunan kilang lama sebagai aset berharga yang perlu dipulihara dan dimanfaatkan semula.

“Bangunan lama ini merupakan buku sejarah yang hidup kerana menyimpan kenangan kehidupan generasi demi generasi tukang porselin.

“Kami sentiasa berpegang kepada prinsip campur tangan minimum bagi mengekalkan sebanyak mungkin identiti asal bandar, menghidupkan semula fungsi ruang melalui pengubahsuaian berskala kecil dan penambahbaikan bersasar,” katanya menerusi kenyataan.

Acara Utama Global Hari Bandar Sedunia 2026 dan penyampaian Anugerah Shanghai Edisi Keempat berlangsung di Fuzhou pada 31 Oktober lalu, bertemakan “Memperkasa Pembaharuan Bandar, Membina Impian Kehidupan Lebih Baik”.

Acara itu juga menghimpunkan pemimpin bandar serta wakil antarabangsa bagi membincangkan usaha memperkukuh pembangunan bandar mampan.

Anugerah Shanghai diperkenalkan pada 2022 menerusi kerjasama China dan Program Petempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat). Bagi edisi tahun ini, sebanyak 92 bandar dari 34 negara mengemukakan permohonan, dengan 15 bandar disenaraikan sebagai finalis.

Dalam pada itu, Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (ESCAP), Armida Salsiah Alisjahbana memaklumkan, Fuzhou yang pernah menerima Anugerah Shanghai diiktiraf sebagai contoh terbaik dalam perancangan bandar berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Menurutnya, pencapaian itu dapat dilihat melalui pembangunan mampan yang diterajui komuniti, reka bentuk inklusif serta penyediaan perkhidmatan awam yang saksama khususnya kepada warga emas, golongan orang kurang upaya dan kumpulan berpendapatan rendah.

Manakala, Menteri Pembangunan Brunei, Juanda Abdul Rashid pula menekankan kepentingan memastikan rakyat mempunyai tempat tinggal yang mencukupi dan mampu dimiliki.

Beliau berkata, tema Hari Bandar Sedunia tahun ini mengingatkan semua pihak bahawa pembangunan bandar mesti membawa penambahbaikan kepada kehidupan rakyat.

“Perumahan memberikan kestabilan, keselamatan dan rasa kekitaan kepada keluarga. Justeru, usaha perlu dilakukan bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti rumah, malah mutu persekitaran komuniti.

“Pendekatan Brunei juga mengekalkan kemampuan dan akses kepada perumahan, meningkatkan bekalan rumah, memperkukuh perancangan penggunaan tanah serta mewujudkan komuniti yang selesa didiami,” ujarnya.

Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Anacláudia Rossbach pula menyatakan, isu perumahan tidak boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja walaupun setiap negara mempunyai keadaan dan cabaran tersendiri.

Menurutnya, isu itu perlu ditangani secara menyeluruh dengan menghubungkannya kepada aspek tanah, infrastruktur, perkhidmatan asas, ruang awam, kelestarian alam sekitar dan daya tahan bandar.

“Pembaharuan bandar merupakan pemangkin penting kepada perubahan, dan apabila rakyat diletakkan sebagai keutamaan dalam pembangunan secara inklusif, usaha itu mampu menghidupkan semula komuniti, memperbaiki keadaan tempat tinggal, merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan serta meningkatkan daya tahan bandar terhadap perubahan iklim dan risiko lain,” jelasnya.

Mengenai pengalaman Fuzhou, Pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 di peringkat bandar memerlukan penyelarasan berkesan antara matlamat global dengan strategi pembangunan, dasar dan amalan tadbir urus tempatan.

Sebagai penerima Anugerah Shanghai edisi pertama, Fuzhou turut berkongsi pendekatan yang dilaksanakan dalam memacu pembangunan bandar mampan termasuk mengutamakan rakyat dalam perancangan bandar, berpandukan strategi jangka panjang, memperkukuh penyelarasan antara jabatan kerajaan, memastikan kesinambungan pelaksanaan, memperluas kerjasama antarabangsa serta melaksanakan tadbir urus bersepadu berdasarkan keadaan setempat.

Pengalaman itu menarik perhatian wakil pelbagai negara yang menghadiri acara berkenaan dan Fuzhou akan terus menjadikan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 sebagai panduan, selain memperkukuh pertukaran antarabangsa dan meningkatkan tahap pembangunan bandar mampan.

Bandar itu juga berhasrat menyumbang kepada pembinaan bandar moden yang inovatif, selesa didiami, indah, berdaya tahan, berbudaya dan pintar.

Acara berkenaan turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif bagi memperkukuh kerjasama global dalam pembangunan bandar mampan, termasuk kempen fotografi antarabangsa, pemeteraian memorandum persefahaman dan penerbitan laporan.

Buat julung kalinya, kempen fotografi global bertajuk “Acara Ikonik Hari Bandar Sedunia (Fuzhou): Bandar Saya, Rumah Saya” dilancarkan bagi menggalakkan penyertaan orang ramai dari seluruh dunia.

Menerusi kempen itu, peserta menggunakan ibu jari dan jari telunjuk untuk membentuk bingkai kamera empat segi bagi merakamkan pemandangan pembaharuan bandar serta persekitaran kehidupan selesa yang menjadi kebanggaan mereka.

Kempen berkenaan menerima penyertaan dari lebih 100 negara dan 320 bandar, manakala topik berkaitan di platform kempen mencatatkan jumlah capaian sebanyak 110 juta kali.

Peserta daripada pelbagai latar belakang, bahasa dan budaya menggunakan gerakan tangan yang sama untuk merakamkan hasil pembangunan bandar serta suasana kehidupan masyarakat yang bahagia dan selesa.

Inisiatif itu mengetengahkan keunikan setiap bandar di dunia, selain menyampaikan mesej Hari Bandar Sedunia, iaitu “Bandar Lebih Baik, Kehidupan Lebih Baik”.

Pada majlis pembukaan, Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China, UN-Habitat serta Kerajaan Perbandaran Fuzhou menandatangani Memorandum Persefahaman bagi mempromosikan penubuhan Perikatan Global Anugerah Shanghai.

Laporan Tahunan Shanghai Manual 2026 dan Laporan Aplikasi Indeks Shanghai turut dilancarkan pada majlis berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Sarawak raih dua podium Sukan Sorak KBS 2026

KUCHING: Sarawak mencatat kejayaan berganda apabila meraih tempat ketiga masing-masing dalam kategori berpasukan gaya bebas Bawah 12 Tahun (B-12) dan Bawah 18 Tahun (B-18) pada