ARTIKEL

Sarawak raih dua podium Sukan Sorak KBS 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak mencatat kejayaan berganda apabila meraih tempat ketiga masing-masing dalam kategori berpasukan gaya bebas Bawah 12 Tahun (B-12) dan Bawah 18 Tahun (B-18) pada Kejohanan Sukan Sorak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2026 di Selangor, Sabtu lalu.

Pencapaian itu membolehkan kedua-dua pasukan membawa pulang hadiah wang tunai RM600 setiap satu, sekali gus membuktikan kemampuan atlet muda Sarawak bersaing di pentas kebangsaan.

Pasukan sorak Sarawak B-12 meraikan kejayaan meraih tempat ketiga pada Kejohanan Sukan Sorak KBS 2026 di The Curve, Mutiara Damansara, Selangor, Sabtu lalu.

Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak menerusi kenyataan merakamkan penghargaan kepada barisan atlet, jurulatih serta semua pihak yang memberikan sokongan sepanjang persiapan dan penyertaan kontinjen negeri dalam kejohanan berkenaan.

“Syabas kepada pasukan Sarawak. Teruskan usaha mengharumkan nama negeri serta menyemarakkan pembangunan sukan sorak dalam kalangan generasi muda melalui penyertaan di peringkat kebangsaan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Kejayaan pasukan B-12 turut menjadi pencapaian bermakna buat atlet cilik Sarawak, selain membuka ruang kepada lebih ramai kanak-kanak untuk menceburi sukan sorak dan mengembangkan bakat sejak usia muda.

“Semoga kejayaan ini menyuntik semangat untuk terus berlatih, meningkatkan kemahiran dan memperkukuh kerjasama berpasukan bagi mencapai prestasi lebih cemerlang pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kejayaan pasukan B-18 turut memperlihatkan potensi atlet remaja negeri untuk terus meningkatkan daya saing melalui pendedahan pertandingan serta penguasaan kemahiran persembahan secara berpasukan.

Kejohanan bertemakan Bersatu dalam Sorakan yang berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November lalu di The Curve, Mutiara Damansara itu menjadi medan kepada atlet dari pelbagai negeri menguji kemampuan dan mempamerkan bakat dalam sukan berkenaan.

Penyertaan tersebut turut memberi peluang kepada atlet Sarawak meningkatkan keyakinan, disiplin dan keseragaman pergerakan, selain menimba pengalaman sebagai persediaan menghadapi pertandingan akan datang.

Majlis penyampaian hadiah kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Abd Aziz Abd Rahman pada 1 November lalu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU