KUCHING: Seorang penjual makanan laut dijatuhkan hukuman denda RM90,000 atau penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana terlibat secara tidak langsung kemasukan dua transaksi wang bernilai secara keseluruhan RM450,000 tanpa tujuan sah ke dalam akaun bank peribadinya.
Tertuduh, 39, mengaku bersalah pada permulaan perbicaraan hari ini, atas dua pertuduhan pindaan yang dibacakan di hadapan Hakim Shafiza Datu Abdul Razak.

Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan, dia didakwa di bawah Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun, dan denda minimum RM10,000 serta tidak melebihi RM150,000, jika sabit kesalahan.
Dia didakwa terlibat secara tidak langsung transaksi masuk ke akaun peribadinya melibatkan transaksi wang RM50,000 dan RM400,000 milik Bank Pertanian Malaysia.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukannya di sebuah bank di Jalan Haji Taha, pada 1 dan 3 November 2025.
Menurut fakta kes, pengadu merupakan pegawai eksekutif bahagian perbankan digital menerima makluman daripada Jabatan Operasi Saluran Korporat (CCOD) berhubung beberapa transaksi mencurigakan melalui Real-Time Retail Payments Platform (RPP) melibatkan dana Agrobank berjumlah RM160 juta.
Susulan itu laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut.
Semakan lanjut mendapati bahawa transaksi tanpa kebenaran berkenaan bermula lebih awal antara 28 Oktober 2025 hingga 3 November 2025.
Semakan oleh pihak polis mendapati rekod transaksi dalam sistem HOS Agrobank tidak selari dengan laporan RPP PayNet.
Pemeriksaan digital seterusnya menunjukkan bahawa sistem bank terjejas dan memungkinkan arahan pemindahan dana tidak sah dibuat.
Hasil siasatan turut mendapati bahawa terdapat dua transaksi kemasukan wang berjumlah
RM50,000 pada 1 November 2025 dan RM 400,000 pada 3 November 2025 yang dikreditkan ke
dalam akaun Ambank atas nama tertuduh.
Siasatan polis menunjukkan transaksi tersebut dibuat tanpa maksud yang sah dan merupakan sebahagian daripada dana Agrobank.
Siasatan selanjutnya menunjukkan pada 3 November 2025, tertuduh mengeluarkan wang berjumlah RM400,000 secara tunai di dua kaunter bank sebanyak dua kali.
Kemudian, dia berjaya ditangkap pada 20 November 2025.
Dalam keterangannya, dia mengaku telah meminjamkan akaun bank miliknya kepada seorang lelaki bernama Adrick Wong yang kononnya kemasukan wang itu dari tugasan yang diberikan akan ditunaikan melalui akaun bank tertuduh.
Keseluruhan keterangan siasatan menunjukkan bahawa tertuduh menerima, mengurus dan terlibat secara langsung dalam transaksi kemasukan wang RM 450,000 ke dalam bank miliknya tanpa maksud yang sah, iaitu sebahagian daripada hasil aktiviti menyalahi undang-undang.
Semasa prosiding hari ini, mahkamah membenarkan tertuduh membayar denda secara ansuran berdasarkan Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Namun, dia diperintahkan membayar RM10,000 hari ini (3 November) dan lapan transaksi lagi pada bulan-bulan berikutnya sehingga denda selesai.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar dari Unit Jenayah Komersial dan Siber, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara (AGC).
Manakala, tertuduh diwakili Peguam Bela Tiong Ing Neng.






