ARTIKEL

TAHAN….Sepasang suami isteri ditahan polis selepas mengugut untuk membunuh wanita warga emas dan suaminya, semalam.

Tegur Minum Tuak, Wanita Warga Emas Diugut Bunuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Sepasang suami isteri ditahan polis selepas dipercayai mengugut untuk membunuh seorang wanita warga emas dan suaminya dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Sungai Sepudun, Balingian, di sini, semalam.

Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian yang berlaku kira-kira 10.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran selepas mangsa, 69, menegur kedua-dua suspek yang disyaki berada dalam keadaan mabuk dan meminta mereka berhenti meminum tuak.

Parang yang digunakan untuk mengugut bunuh dalam kejadian tersebut.

“Kedua-dua suspek kemudian mengeluarkan kata-kata ugutan untuk membunuh mangsa dan suaminya.

“Keadaan menjadi lebih tegang apabila salah seorang suspek masuk ke dalam bilik sebelum dilihat memegang sebilah parang.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menahan kedua-dua suspek kira-kira 4 petang pada hari sama.

Suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki berusia 57 tahun dan seorang wanita berusia 21 tahun.

Jelas Rizal, sebilah parang berukuran 23 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan dirampas oleh pihak polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek direman selama tiga hari hingga 6 November ini bagi membantu siasatan dan kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rizal menegaskan, polis sedang meneruskan siasatan termasuk mengesan saksi bebas yang berkaitan serta melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan pergaduhan atau mengancam keselamatan, khususnya ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan serta memastikan keselamatan masyarakat setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU