ARTIKEL

Wilfred Yap Perjelas Kronologi Pemberimilikan Tanah Global Upline

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kelulusan pemberimilikan tanah kepada Global Upline Sdn Bhd pada 2006 perlu dinilai berdasarkan kronologi sebenar proses pentadbiran dan bukannya dijadikan bahan naratif politik, tegas Wilfred Yap Yau Sin.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kota Sentosa itu berkata demikian bagi membidas kenyataan dan kritikan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen berhubung isu pemberimilikan tanah berkenaan.

Menurutnya, perkara itu perlu diperjelas berdasarkan fakta serta mengambil kira konteks sejarah, pentadbiran dan ekonomi yang sewajarnya.

“Pendekatan saya dalam menangani isu berkepentingan awam sentiasa jelas. Saya tidak membuat tuduhan, membuat kesimpulan terburu-buru atau menjatuhkan hukuman sebelum mengetahui keadaan sebenar.

“Sesiapa yang memegang jawatan awam bertanggungjawab memastikan fakta diperoleh terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan kepada umum, khususnya apabila perkara itu melibatkan tanah kerajaan, aset awam dan kepentingan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, beliau mengambil inisiatif menyemak rekod berkaitan bagi memahami sejarah pentadbiran pemberimilikan tanah itu dan memastikan penjelasan diberikan berdasarkan fakta kerana rakyat berhak mendapat penjelasan berasaskan fakta dan rekod rasmi.

“Hasil semakan juga mendapati isu ini mempunyai sejarah pentadbiran yang lebih panjang berbanding gambaran yang diketengahkan,” ujarnya.

Menurut Wilfred, Global Upline Sdn Bhd memohon tanah berkenaan pada 2005 sebelum diluluskan pada 2006, manakala dua daripada tiga lot didaftarkan pada 2011 ketika Chong masih menjadi ADUN Kota Sentosa.

Katanya, premium keseluruhan berjumlah RM26.748 juta telah dijelaskan sepenuhnya oleh pemaju. Bagaimanapun, pendaftaran Lot 108 hanya diselesaikan pada Julai 2022 kerana tapak berkenaan sebelum itu menempatkan Balai Polis Kota Sentosa.

Beliau menegaskan, kelulusan asal pada 2006 perlu dibezakan daripada proses pendaftaran Lot 108 pada 2022 bagi mengelakkan kekeliruan kronologi sebenar.

“Gambaran pendaftaran pada 2022 seolah-olah keputusan pemberimilikan tanah baharu selepas PRN 2021 adalah tidak mencerminkan kronologi sebenar proses pentadbiran berkenaan. Fakta yang didokumenkan ini wajar dipertimbangkan dengan teliti sebelum sebarang kesimpulan dibuat,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wilfred memaklumkan kepentingan awam terus dilindungi apabila Pihak Berkuasa Perancang Negeri pada 22 Oktober 2026 meluluskan pengekalan tapak sedia ada Balai Polis Kota Sentosa.

“Tanah berkenaan akan diserahkan semula kepada kerajaan tanpa sebarang bayaran, manakala kerja-kerja pengukuran bagi menentukan sempadan kawasan itu telah dimulakan.

“Perkara ini membuktikan bahawa pihak berkuasa berkaitan telah mengambil langkah untuk melindungi kemudahan awam yang penting, termasuk membolehkan proses pembangunan secara keseluruhan diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Wilfred turut mempersoalkan mengapa Chong tidak membangkitkan isu pemberimilikan tanah berkenaan sepanjang 15 tahun menjadi ADUN Kota Sentosa dari 2006 hingga 2021.

Menurutnya lagi, perkara itu wajar dijelaskan memandangkan kelulusan asal pemberimilikan tanah diberikan pada 2006, manakala dua daripada tiga lot berkenaan didaftarkan pada 2011 ketika Chong masih menjadi wakil rakyat kawasan itu.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengemukakan laporan rasmi kepada Ombudsman Sarawak atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya fakta, bukti dan keadaan menunjukkan tindakan sedemikian wajar diambil.

“Tiada individu atau organisasi yang boleh terkecuali daripada penelitian sewajarnya. Sebarang petunjuk berasas salah laku pentadbiran, penyalahgunaan kuasa atau rasuah mesti ditangani melalui saluran institusi yang betul,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Sadong Jaya Ulu FT muncul juara

SADONG JAYA: Pasukan Ranting Sadong Jaya Ulu FT membuktikan kehebatan sebenar mereka apabila berjaya merangkul gelaran juara Karnival Futsal Terbuka Antara Ranting N.24 Sadong Jaya