KUCHING: Bahagian Betong dan Sarikei akan menjadi gelanggang untuk penganjuran Mini Karnival Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) 9 Sebelah Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 22 November ini.
Dua venue berkenaan bakal menghimpunkan pasukan melibatkan peringkat umur berbeza, iaitu Bawah 16 Tahun (Bahagian Betong) dan Bawah 14 Tahun (Bahagian Sarikei).
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Kaunselar Khairulddin Qalam Daud berkata, karnival dua hari itu dianjurkan oleh FAS dengan kerjasama NFDP yang turut dilaksanakan bersama dua ahli gabungan, iaitu Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Sarikei (PBBS).
Menurut Qalam, pihaknya menyasarkan 12 pasukan bagi setiap kategori tersebut.
Dengan kata lain, 12 pasukan bagi kategori Bawah 14 Tahun dan jumlah sama untuk kategori Bawah 16 Tahun.
“Pihak kita sudah mengedar surat ke semua bahagian yang juga ahli gabungan FAS, jadi menunggu maklum balas daripada mereka.
“Andai kata ada bahagian yang tidak dapat menyediakan pasukan atau menyertai, kita akan membuka penyertaan kepada kelab-kelab sedia ada,” ujar Qalam kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Akar Umbi (JKTPAU) FAS yakin maklum balas positif diterima daripada setiap ahli gabungan sedia ada.
Baru-baru ini, Qalam telah mempengerusikan mesyuarat membincangkan penganjuran karnival berkenaan bersama barisan Exco BDFA.
Mengulas penganjuran karnival terbabit, Qalam menyatakan format karnival secara liga kumpulan untuk peringkat awal.
“Saingan secara liga kumpulan untuk peringkat awal, 12 pasukan akan dibahagi kepada tiga kumpulan yang ditetapkan,” tambah beliau.
Hadiah berupa wang tunai, piala dan pingat disediakan untuk pasukan yang berjaya muncul juara dan naib juara bagi setiap kategori.
Manakala, tempat ketiga dan keempat akan menerima hadiah berupa pingat dan wang tunai untuk kedua-dua kategori berkenaan.
Objektif penganjuran karnival berkenaan, selain cuba memberi peluang kepada pemain terlibat mengetengahkan bakat mereka.
Karnival terbabit, kata Qalam, merupakan platform untuk mengenal pasti pemain berbakat bagi membentuk pasukan mengharungi Liga Remaja Kebangsaan (LRK) pada masa akan datang.






