BINTANGOR: Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki menjadi keldai akaun dalam kegiatan penipuan pinjaman wang tidak wujud yang mengakibatkan mangsa kerugian RM1,000.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong, kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tansli Mering berkata, penahanan itu dibuat susulan siasatan terhadap laporan penipuan membabitkan tawaran pinjaman wang menerusi Facebook.
“Mangsa yang tertarik dengan iklan berkenaan memohon pinjaman sebanyak RM10,000 sebelum diminta menyerahkan maklumat peribadi.
“Dia kemudian diarahkan membayar RM1,000 kononnya sebagai bayaran pengaktifan akaun pinjaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, wang pinjaman yang dijanjikan tidak pernah diterima meskipun mangsa sudah membuat pembayaran seperti yang diarahkan.
Tansli berkata, hasil siasatan turut mendapati suspek mempunyai kaitan dengan satu laporan polis yang dibuat di daerah Manjung.
Semakan lanjut mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan tawaran kewangan sebelum melakukan sebarang transaksi kepada pihak ketiga.
“Mangsa penipuan dalam talian juga boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 atau Balai Polis Bintangor di 084-693222 untuk membuat laporan,” jelasnya.






