ARTIKEL

Bot tunda yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Bintulu selepas pemeriksaan mendapati peralatan keselamatannya telah tamat tempoh.

Bot tunda ditahan, peralatan keselamatan tamat tempoh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Tujuh kru sebuah bot tunda berdepan risiko keselamatan ketika berada di laut selepas vesel yang dinaiki mereka didapati menggunakan peralatan keselamatan yang telah tamat tempoh dalam pemeriksaan Maritim Malaysia, semalam.

Bot berkenaan ditahan kira-kira pukul 1.20 petang pada kedudukan 2.5 batu nautika di barat laut Kuala Kemena ketika pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjalankan rondaan menerusi Op Tiris 4.0 dan Op Permai 01/2019.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, berkata pemeriksaan awal mendapati bot tunda itu dikendalikan oleh tujuh kru yang terdiri daripada tiga warga Indonesia termasuk nakhoda, dua warga tempatan serta masing-masing seorang warga India dan Myanmar.

Tujuh kru bot tunda yang ditahan Maritim Malaysia dalam operasi penguatkuasaan di perairan Bintulu, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati peralatan keselamatan yang digunakan di atas bot berkenaan telah tamat tempoh, sekali gus menimbulkan risiko terhadap keselamatan pelayaran.

“Kesalahan tersebut disyaki melibatkan Seksyen 300 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (Merchant Shipping Ordinance 1952) berkaitan penghantaran kapal tidak selamat ke laut (unseaworthy),” katanya dalam kenyataan.

Susulan penemuan itu, bot tunda bersama kesemua kru diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Zon Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Muhammad Suffian menegaskan bahawa penggunaan peralatan keselamatan yang telah tamat tempoh boleh menjejaskan kesiapsiagaan sesebuah vesel, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan di laut.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengusaha vesel dan komuniti maritim supaya sentiasa memastikan peralatan keselamatan berada dalam keadaan baik, berfungsi serta masih dalam tempoh sah penggunaannya.

Katanya, pematuhan terhadap peraturan keselamatan bukan sekadar memenuhi tuntutan undang-undang, malah menjadi tanggungjawab bersama untuk melindungi nyawa kru dan menjamin keselamatan pelayaran.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan di perairan negara bagi memastikan setiap vesel mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Maritim Zon Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU